suria

Pegawai JHEAT Maut Dalam Nahas Van Terbabas

MARANG: Seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) maut manakala lima lagi rakan sekerja cedera setelah van yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh sebatang pokok di Kampung Alur Toman, di sini, Isnin.

Nor Asma Abdullah, 43, Ketua Pembantu Hal Ehwal Islam di Unit Dakwah di JHEAT Kemaman maut di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan dalam kejadian kira-kira 8.15 pagi ini.

Kemalangan itu berlaku ketika hujan lebat ketika mangsa dan lima lagi rakan sekerja yang berusia antara 30 hingga 50 tahun dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kursus selama sehari, kata Pegawai JHEAT Kemaman Zulkefli Othman.

"Semasa kejadian mangsa dipercayai bersama empat lagi kakitangan wanita duduk di bahagian belakang dan akibat rempuhan yang kuat itu, mangsa tercampak keluar dan seorang lagi rakannya tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Kesemua yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain