suria

Panel SPR Bersidang 18 April Bincang Syor PSC

KUCHING: Anggota panel Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat 18 April ini bagi membincangkan dan membuat keputusan berhubung 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata syor berkenaan sudah diterima SPR selepas diluluskan Dewan Rakyat 3 April lepas.

"Panel kami seramai tujuh orang ini akan meneliti kesemua syor itu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya dalam sidang berita selepas merasmikan taklimat untuk pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus pilihan raya di sini.

Katanya mereka tidak mahu membuat sebarang keputusan secara tergesa-gesa mengenai cadangan-cadangan itu kerana ia turut melibatkan undang-undang pilihan raya sedia ada dan perlu diperhalusi lagi dengan lebih mendalam.

"Kami tidak boleh melakukan sebarang kesilalan kerana jika kami silap, orang ramai boleh mendakwa kami ke mahkamah," katanya.

Abdul Aziz berkata satu kenyataan berhubung keputusan panel berkenaan perkara itu akan dikeluarkan pada hari berkenaan.

PSC, yang ditubuhkan 2 Oktober tahun lepas dipengerusikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut mewakili Sabah dan kaum Kadazan.

Anggota-anggota lain jawatankuasa itu terdiri dari Datuk Alexander Nanta Linggi (wakil bagi Sarawak dan Iban), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (wakil Umno dan Melayu), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (wakil MCA dan Cina) serta Anggota Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan (wakil MIC dan India).

Tiga wakil rakyat pembangkang yang dilantik termasuk Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya DAP Anthony Loke, sementara Konsensus Bebas sepakat melantik Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong untuk mewakili mereka.

Syor-syor yang dikemukakan jawatankuasa ini termasuk memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos, pengundi luar kawasan, tarikh pembubaran Parlimen, kerajaan sementara, penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberikan maklumat palsu dalam urusan pendaftaran termasuk akses media yang bebas dan saksama.

Selain itu, ia turut melibatkan pembersihan daftar pemilih yang berterusan, penelitian daftar pemilih bagi alamat-alamat yang mempunyai ramai pemilih berdaftar, bantahan terhadap daftar pemilih yang telah diperakui melalui aduan atau maklum balas daripada parti politik ataupun pertubuhan bukan kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain