suria

Nelayan Ditemui Lemas Di Kuala Perlis

KANGAR: Mayat seorang nelayan, Herwan Che Din, 29, yang jatuh ke dalam laut ketika keluar mengkap ikan awal pagi Sabtu ditemui pada Ahad, tidak jauh daripada pantai Kuala Perlis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, mangsa disedari hilang oleh rakan-rakannya kira-kira pukul 1 pagi semalam dan polis yang menerima laporan kejadian itu pukul 11 pagi semalam melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.

Katanya, mayat mangsa ditemui kira-kira 0.3 batu nautika dari pantai kira-kira pukul 1.30 petang Ahad dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Abdul Rahman berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Abang mangsa, Shahimi Che Din, 41, berkata, dia dan mangsa keluar menangkap ikan menggunakan bot secara berasingan pukul 5 petang Jumaat lalu berhampiran Pulau Brasmana.

Katanya, selepas beberapa jam berada di perairan berhampiran pulau itu, beliau dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dari botnya.

Gerakan mencari dilakukan oleh kumpulan nelayan yang sama-sama beroperasi di kawasan itu sebelum membuat laporan polis.

Shahimi berkata, mayat adiknya ditemui terapung tidak jauh dari pantai dan dibawa pulang ke jeti Kastam Kuala Perlis di sini sebelum dihantar ke HTF. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain