suria

Mohon Sijil Pengesahan Halal Jakim Secara Online - Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Pengeluar, pengilang, pengedar dan pengusaha premis makanan serta rumah sembelih digalakkan membuat permohonan sijil pengesahan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara online.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata dengan cara ini ia memudahkan dan mempercepatkan proses mendapatkan sijil halal itu.

Permohonan sijil itu bagi pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa boleh dibuat secara terus kepada Hab Halal JAKIM manakala permohonan bagi pasaran peringkat tempatan boleh dibuat terus kepada Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri.

"Tempoh permohonan diluluskan adalah bergantung kepada status dan saiz perniagaan. Jika operasi perniagaan itu besar, ia mungkin ambil masa lebih seminggu tetapi selalunya tidak melebihi 30 hari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Kompleks Darul Hidayah di sini, Isnin.

Kompleks setinggi lima tingkat di atas tanah berkeluasan 0.66 hektar, mampu menampung sehingga 300 jemaah. Ia dibina dengan kos RM19.8 juta dan dijangka siap pada 2014.

Jamil Khir juga berkata kelulusan juga bergantung kepada maklumat dan butiran perniagaan yang dinyatakan dalam permohonan itu kepada JAKIM.

Di PETALING JAYA, empat premis makanan di Subang Jaya dan Puchong diberi notis amaran oleh JAKIM kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf jabatan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM Adam Drahman berkata dalam pemeriksaan tiga jam bermula 10.30 pagi itu, tiga premis makanan diperiksa di pusat beli-belah Subang Parade dan sebuah premis makanan di Puchong.

"Hasil pemeriksaan, kami mengeluarkan notis amaran kerana menggunakan logo halal tidak diiktiraf JAKIM dan bertentangan dengan Akta Perihal Dagangan 2011," katanya kepada pemberita.

Menurutnya kesemua pengusaha premis itu diberi tempoh sehingga Jun ini untuk mendapatkan logo pengesahan halal JAKIM dan jika gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.

Kesalahan mengikut akta itu boleh didenda maksimum RM5 juta kerana kesalahan memperdaya atau mengelirukan pengguna. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain