suria

Mahkamah Rayuan Tangguh Pendengaran Saman Sivil Melibatkan Tajudin Ramli

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menanggguhkan sekali lagi pendengaran rayuan berhubung dua saman sivil melibatkan ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli dan Celcom (Malaysia) Berhad kerana pihak yang terlibat masih dalam proses merundingkan penyelesaiannya.

Peguam R.S.Nathan yang mewakili Celcom memaklumkan kepada panel tiga hakim mahkamah itu bahawa penyelesaian itu bukan saja membabitkan rayuan yang dikemukakan, tetapi juga beberapa perkara lain yang belum diputuskan Mahkamah Tinggi.

"Perbincangan mengenai penyelesaian ini adalah berkaitan frasa kedua penyelesaian, yang sebelum ini telah membawa kepada penarikan balik 35 rayuan di hadapan sebuah panel Mahkamah Rayuan lain yang melibatkan Tajudin, Kerajaan Malaysia, Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dan Celcom," katanya.

Nathan berkata beliau telah menulis surat bertarikh 5 April tahun ini kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan untuk memohon penangguhan pendengaran rayuan itu, yang sepatutnya diadakan, Isnin.

Peguam Lim Kian Leong, yang mewakili Tajudin, dan peguam Christopher Leong, yang mewakili bekas pengarah Celcom yang turut disaman syarikat itu (Celcom), menyokong permohonan Nathan untuk mendapatkan penangguhan.

Hakim Datuk Abdul Malik Ishak yang bersidang bersama Hakim-hakim Datuk Mohd Hishamuddin Yunus dan Anantham Kasinater membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 25 Jun sebagai tarikh baru pendengaran.

Mahkamah Rayuan bersiap sedia untuk mendengar rayuan itu, yang ditangguhkan pendengarannya pada 20 Feb tahun ini.

Rayuan itu adalah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan Tajudin dan bekas pengarah Celcom lain mengetepikan saman sivil terhadap mereka oleh Celcom dan anak syarikatnya Technology Resources Industries Bhd (TRI) kerana mendakwa mereka melanggar kewajipan fidusiari masing-masing.

Syarikat itu menyaman bekas pengarahnya, termasuk Tajudin untuk mendapatkan kembali RM880 juta yang perlu dibayarnya kepada DeTeAsia Holdings GmbH, sebuah unit di bawah Deutsche Telekom, sebagai award arbitrasi yang perlu dibayar Celcom kepada DeTeAsia seperti yang diperintahkan Mahkamah Antarabangsa Arbitrasi, Dewan Perniagaan Antarabangsa pada 2 Ogos 2005 kerana melanggar kontrak.

Celcom menuntut bekas pengarahnya, termasuk Axel Hass dan Oliver Tim Axmann membayar balik kepadanya (Celcom) jumlah bayaran yang dibuat kepada DeTeAsia berikutan keputusan arbitrasi itu. Pada 2003, Telekom Malaysia Bhd menawarkan saham pada harga RM2.75 seunit apabila ia ditawarkan membeli keseluruhan syarikat pengendali telefon bergerak itu. Deutsche Telekom kemudian menjual sahamnya pada harga itu, tetapi memfailkan arbitrasi untuk menuntut ganti rugi sebanyak RM4.25 sesaham.

Firma Jerman itu mendakwa ia dijanjikan saham RM7 seunit di bawah perjanjian yang dibuat dengan lembaga pengarah Celcom sebelumnya, yang diterajui Tajudin.

Pada 14 Februari tahun ini, Tajudin menarik balik rayuannya selepas beliau dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd mencapai penyelesaian di luar mahkamah berhubung satu saman sivil yang difailkan enam tahun dahulu berhubung hutang berjumlah RM589 juta yang ditanggung tokoh korporat itu kerana membeli saham MAS.

Tajudin juga menarik balik tuntutan balasnya terhadap beberapa pihak termasuk Telekom Malaysia Bhd, Naluri Corporations, Celcom (M) Berhad, Atlan Holding Bhd dan CIMB Group. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain