suria

Kerajaan Persekutuan Peruntuk RM423 Juta Naik Taraf Lebuhraya Pan Borneo - Shaziman

MIRI: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM423 juta untuk menaik taraf Lebuhraya Pan Borneo dari Sabah ke Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata untuk peringkat permulaan, sejumlah RM100 juta akan dikeluarkan dalam masa terdekat untuk dikongsi kedua-dua negeri terbabit.

Di Sarawak, jalan sepanjang 217 kilometer dari Sibu ke Bintulu dan dari Bintulu ke Miri sepanjang 207 km akan jadi keutamaan, katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa projek naik taraf jalan yang dibiayai kerajaan pusat, di sini Isnin.

"Kedua-dua laluan ini digunakan setiap hari oleh banyak kenderaan komersil dan kenderaan berat yang menuju ke Bintulu dan lain-lain pelabuhan di bahagian tengah negeri.

"Kita akan membina seberapa banyak lorong memotong di kawasan kritikal di sepanjang laluan terbabit terutama di kawasan curam atau gunung," katanya.

Shaziman berkata perkara itu akan dilaksanakan segera tanpa menunggu hasil kajian Unit Perancang Ekonomi yang sedang berjalan.

Katanya laluan tersebut juga akan ditar semula selain mengenal pasti kawasan yang sering berlaku kemalangan.

Shaziman berkata pihaknya juga tidak berhasrat menjadikan jalan terbabit sebagai laluan dua lorong memandangkan jumlah kenderaan yang masih rendah iaitu sekitar 10,000 sehari.

"Kebiasaannya kita membina laluan dua lorong apabila volum trafik kira-kira 20,000 kenderaan sehari," katanya menambah pihaknya juga tidak menerima permohonan daripada kontraktor untuk membina lebuh raya dua lorong di negeri ini.

Shaziman berkata kerajaan persekutuan juga akan terus menaik taraf jalan di negeri ini apabila wujud keperluan berbuat demikian.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin yang turut hadir mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang memberi tumpuan khusus kepada usaha menaik taraf lalun Sibu-Bintulu-Miri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain