suria

Bidaan Untuk Nombor Pendaftaran Peribadi Bermula Awal Tahun Depan

SEREMBAN: Semua pemilik kenderaan kecuali teksi akan dibenarkan untuk membida nombor pendaftaran peribadi (NPP) bermula awal tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, langkah tersebut adalah untuk membenarkan mereka memiliki nombor pendaftaran unik di samping membolehkan pihak berkuasa mendapat pendapatan tambahan.

Menurutnya, pemilik motosikal dan kenderaan komersial seperti lori dan bas turut dibenarkan untuk mendaftar NPP jika mereka sanggup membayar untuk nombor istimewa itu.

"NPP adalah salah satu inisiatif anggota JPJ kepada orang ramai. Kami hanya akan memperkenalkan langkah itu sebaik saja sistem komputer ditingkatkan dan ciri-ciri keselamatan baru dilaksanakan," katanya.

JPJ menerima RM282 juta untuk meningkatkan sistemnya sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan.

Langkah itu, katanya akan membenarkan rakyat di negara ini untuk memperbaharui lesen dan cukai jalan secara online.

Solah berkata, proses bidaan itu akan terbahagi kepada dua kategori iaitu eksklusif dan bukan-eksklusif.

"NPP yang bukan-eksklusif boleh dimiliki lebih daripada seorang manakala nombor eksklusif hanya akan diberikan kepada seorang pemilik," katanya.

Beliau berkata, JPJ masih belum memutuskan karakter nombor yang dibenarkan untuk kategori NPP eksklusif dan bukan-eksklusif itu.

NPP bukan-eksklusif, katanya, jauh lebih murah dan ditawarkan menerusi permohonan tender.

"Bagi NPP eksklusif, JPJ akan menentukan jumlah yang perlu dibida. Pembida kemudiannya mempunyai hak terhadap NPP bermula dari nombor 1 hingga 9999," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain