suria

Peserta Program Tukar Boleh Dapat Pinjaman Sehingga RM80,000

KUALA LUMPUR: Pengusaha kedai runcit tradisional yang berhasrat menyertai Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) boleh memperoleh pinjaman sehingga RM80,000 pada tahun ini untuk memodenkan operasi kedai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan menambah dana program TUKAR itu yang kini berjumlah RM100 juta bagi membiayai peserta program.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, beliau berkata, peningkatan kemudahan pinjaman itu dibuat setelah meneliti rungutan peserta program.

"Sebelum ini, TUKAR sediakan sebanyak RM60,000 bagi kos pengubahsuaian kedai tetapi tahun ini kerajaan menambahkan lagi peruntukan tambahan RM20,000 sebagai modal.

"Ini berikutan banyak rungutan yang kita terima daripada peserta yang tiada modal untuk membeli barang-barang perniagaan setelah mengubahsuai kedai mereka," katanya.

Ismail Sabri berkata, program itu mensasarkan penyertaan 500 kedai runcit setahun namun sehingga 30 Dis 2011, sebanyak 519 buah kedai runcit di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak telah menyertai TUKAR manakala 55 bengkel dimodenkan menerusi program bengkel automotif (ATOM).

"Tahun ini kita sasarkan 500 peserta menyertai TUKAR dan 50 lagi mengambil peluang menyertai ATOM," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain