suria

Pencapaian GTP Melebihi Sasaran Ditetapkan - Najib

BATU PAHAT: Pencapaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak tiga tahun lepas telah melebihi daripada sasaran yang ditetapkan, kata Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Menurut Perdana Menteri, GTP yang diseliakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan program yang disandarkan kepada keperluan dan kehendak rakyat.

"Di dalam tempoh tiga tahun sejak Program Transformasi Kerajaan dilancarkan, pencapaiannya adalah melebihi daripada sasaran yang ditetapkan. Bayangkan itu baru tiga tahun, jika lima tahun lagi banyak yang kita boleh capai," katanya di Stadium Batu Pahat, Sabtu.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 50,000 rakyat tempatan ketika merasmikan program Jelajah Janji Ditepati yang dianjurkan oleh Kumpulan Media Prima Berhad.

Turut sama menghadiri program terbabit adalah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, menteri-menteri dan timbalan menteri serta pemimpin kanan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dan Presiden Umno berkata, di bawah program GTP kerajaan telah berjaya membina 1,000km jalan-jalan luar bandar daripada Perlis hingga ke Sabah.

Selain itu, katanya, GTP juga telah berjaya mencapai sasarannya dalam membekalkan kemudahan elektrik, air dan rumah yang kini dinikmati lebih 1 juta rakyat negara ini.

"Di dalam bidang pendidikan pula, program GTP telah berjaya membina kira-kira 3,000 kelas-kelas tadika di seluruh negara, selain kerajaan meningkatkan bilangan sekolah-sekolah berprestasi tinggi," kata Najib.

Usaha mengurangkan kadar jenayah di bawah GTP, kata beliau, juga telah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan dengan kadar jenayah secara keseluruhannya berjaya diturunkan sebanyak 39 peratus.

Bagi jenayah jalanan pula, katanya, kerajaan telah berjaya mengurangkan kadarnya sebanyak 11.1 peratus.

Menurut Perdana Menteri, menerusi program GTP juga kerajaan telah berusaha menerusi pelbagai pendekatan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

Salah satu daripadanya adalah menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di mana kerajaan telah memberikan bantuan RM500 kepada isi rumah yang memiliki pendapatan di bawah RM3,000, katanya.

"Sebanyak 4 juta isi rumah di negara ini menikmati kemudahan BR1M," katanya sambil menambah, kerajaan di bawah program GTP turut menghulurkan bantuan RM200 baucer buku kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, serta bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Di bawah program GTP juga, katanya, kerajaan telah menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di mana barang-barang yang dijualnya adalah 40 peratus lebih rendah pasaran dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).

Perdana Menteri juga berkata, dalam usaha kerajaan meringankan beban sara hidup rakyat, juga tidak menaikkan harga minyak petrol RON95, selain menyediakan subsidi terhadap pelbagai barangan seperti tepung, gula dan minyak masak.

"Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM30 bilion terhadap kesemua subsidi itu bagi meringankan kos sara hidup rakyat dan itulah kerajaan yang dikehendaki oleh rakyat," kata Najib kepada hadirin yang menyambutnya dengan sorakan. - BERNAMA

Artikel Lain