suria

Pemandu Rentung, Kereta Terbabit Kemalangan Dengan Lori

IPOH: Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar kerana terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Batu 9 Jalan Semanggol, Bagan Serai pada Sabtu.

Dalam kejadian pukul 5.12 petang itu, mangsa Theng Kooi Cheng, 57, dikatakan cuba memotong sebuah lori di hadapannya tetapi gagal lalu bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata akibat kejadian itu kereta tersebut terbakar 100 peratus dan mangsa rentung selepas terperangkap di dalam kenderaan itu.

"Kejadian berlaku ketika mangsa memandu sendirian kereta jenis Nissan Grand Livina dalam perjalanan dari Semanggol ke Kemunting," katanya ketika dihubungi Sabtu.

Mat Fauzi berkata pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah memadamkan kebakaran itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Katanya bahagian hadapan lori berkenaan turut terbakar dan pemandunya turut cedera dan dirawat di Hospital Taiping. - BERNAMA

Artikel Lain