suria

PBT Disaran Sedia Kemudahan Penunggang Basikal Seperti Negara Maju

KEMAMAN: Pihak berkuasa tempatan disaran membina infrastruktur sesuai untuk penunggang basikal bagi mewujudkan bandar mesra basikal, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, selain menyediakan lorong khas untuk berbasikal, PBT juga perlu menyediakan kawasan tempat khas mengunci basikal dan beberapa keperluan asas.

"Kalau kita pergi ke bandar-bandar besar seperti Melbourne, London dan sebagainya, terdapat satu tempat khas untuk meletakkan dan mengunci basikal pengguna. Kemudian mereka boleh bekerja ataupun membeli belah tanpa perlu risaukan basikalnya.

"Namun ini tidak berlaku dalam negara kita seperti di Kuala Lumpur sebab rakyat kita tidak biasa untuk jadikan basikal ini sebagai kenderaan biasa pergi bekerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai basikal 'Bicycle Station 03' di sini, Ahad.

Ahmad Shabery berkata, masyarakat luar negara telah menjadikan aktiviti berbasikal sebagai gaya hidup dan malahan penunggang basikal di negara maju dihormati oleh para pemandu.

Jelasnya, dari aspek kesihatan, berbasikal selain mampu melahirkan penduduk yang sihat, ia juga dapat mengurangkan pencemaran udara.

"Jika orang ramai lebih banyak menggunakan kenderaan berenjin, ia secara langsung menggunakan minyak dan maka itu lebih banyaklah pembakaran enjin yang boleh menyebabkan alam sekitar tercemar," katanya.

Katanya, trend terkini terdapat banyak kelab-kelab berbasikal di seluruh negara seperti Kelab Fixie dan ia merupakan satu perkembangan yang sihat di mana dalam masa yang sama ia dapat mencambahkan industri berbasikal di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain