suria

Jati Harap Pendidikan Islam Jadi Subjek Wajib Lulus

BUTTERWORTH: Jalur Tiga (Jati) akan menyerahkan satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta mata pelajaran Pendidikan Islam menjadi salah satu subjek wajib lulus dalam peperiksaan sebagaimana subjek wajib lulus yang lain.

Presidennya, Datuk Dr Hasan Ali berkata permintaan itu dibuat atas rasa tanggungjawab terhadap Islam dan bukan kerana bersikap perkauman atau cauvinis semata-mata.

"Jati juga mahu mata pelajaran Pendidikan Islam dijadikan subjek wajib lulus kepada pelajar Islam dalam peperiksaan utama seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

"Bagaimanapun memorandum itu akan diserahkan selepas Jati berjaya mengumpulkan seramai 500,000 ahlinya dan kita yakin mampu memperoleh jumlah berkenaan menjelang enam bulan akan datang," katanya semasa menyampaikan ceramah Selamatkan Akidah anjuran Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan) Pulau Pinang di Bukit Jelutong, Permatang Pasir, dekat sini, malam tadi.

Hasan yang juga bekas Exco kerajaan negeri Selangor dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor menyampaikan ceramah dalam apa yang dipanggil siri jelajahnya ke seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain