suria

Dicekup Lepas Pecah Masuk Rumah

KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah dicekup ketika cuba bersembunyi dengan hasil curian di tangki air sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini malam tadi selepas memecah masuk rumah jiran bersebelahan.

Lelaki warga tempatan itu dikatakan memecah masuk sebuah rumah yang pada ketika itu tidak berpenghuni pada kira-kira jam 10 malam serta melarikan beberapa barang yang dicuri tetapi perbuatannya itu disedari jiran tetangga yang bertindak memberkas suspek sebelum menghubungi polis.

Dalam suasana kelam kabut itu, suspek yang berumur 36 tahun pada mulanya berjaya melarikan diri dengan memasuki rumah bersebelahan dan bersembunyi di kawasan tangki air yang terletak di siling rumah tersebut.

Dia bagaimanapun berjaya diberkas polis dan penduduk setempat.

Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Cif Inspektor Mispani Hamdan berkata, polis turut menemui beberapa barangan curi antaranya komputer riba, kamera dan telefon bimbit daripada suspek.

"Suspek turut memegang pisau pemotong daging yang diambil dari rumah mangsa ketika polis berjaya mengesannya di atas tangki air itu. Namun tindakan pantas polis berjaya mengekang kejadian buruk daripada berlaku," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Mispani menambah, hasil siasatan mendapati lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kereta.

Sementara itu, penghuni rumah berkenaan berkata, suspek menceroboh rumahnya dengan memecah tingkap bilik sebelum bersembunyi di tangki air itu.

Wanita berusia 27 tahun itu yang bersendirian di rumah berkenaan ketika kejadian berkata dia mengesyaki lelaki itu memasuki rumahnya apabila lampu bilik tidurnya tertutup padahal sebelum itu ia terpasang.

Sebelum itu, wanita yang menyewa bersama rakan-rakannya berkata, dia terdengar kekecohan di luar rumah dengan jiran-jirannya menjerit.

"Saya dengar jiran menjerit 'pencuri atas bumbung' dan tanpa melengahkan masa, saya turut keluar dari rumah untuk bersama mereka.

"Pada ketika itu mereka beritahu ternampak pencuri di atas bumbung rumah saya dan sementara menunggu polis datang, kami mengepung suspek," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain