suria

Satu Lagi Sindiket Penipuan Internet Ditumpaskan Di Desa Serdang Selangor

KUALA LUMPUR: Sehari selepas polis menumpaskan sindiket perjudian haram antarabangsa yang beroperasi di enam buah rumah banglo di Country Heights, Kajang, mereka telah berjaya menyerbu ke empat buah banglo lagi yang terletak di Desa Serdang pada Jumaat.

Operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Jenayah Perdagangan Bukit Aman pada jam 11.30 pagi tadi.

Mereka telah berjaya memberkas 83 orang termasuk dua lelaki tempatan. Kesemuanya dipercayai berumur antara 20 hingga 35 tahun.

Dari jumlah tersebut, 67 orang adalah dari Taiwan, seorang warga China, lapan wanita dari Taiwan dan lima lagi wanita dari China.

Dalam serbuan yang dijalankan pada Khamis, di Kajang, pihak berkuasa telah berjaya menahan seramai 144 warga China dan Taiwan.

Dalam operasi di Kajang, polis telah mengesan aktiviti sindiket itu lebih awal dan serbuan pada pukul 1 petang Khamis dilakukan selepas dua minggu perisikan dijalankan.

Aktiviti-aktiviti sindiket itu termasuk perjudian haram, penipuan Internet dan pertaruhan bola sepak.

Dalam operasi pagi ini pula, pihak polis mendapati, dua warga tempatan yang ditahan itu bertindak sebagai penjaga kepada warga asing berkenaan.

Ketika serbuan dijalankan, anggota-anggota sindiket yang mendiami tiga daripada empat buah rumah banglo berkenaan sedang bersiap sedia untuk mengosongkan rumah ekoran terbongkarnya kegiatan mereka dalam serbuan yang dijalankan sehari sebelum itu di Kajang.

Bagaimanapun rumah yang keempat masih meneruskan kegiatan menerima pertaruhan judi seperti biasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, operasi ini dilancarkan hasil pemerhatian selama sebulan.

“Tidak sepertimana sindiket yang beroperasi di Country Heights Kajang, operasi di sini hanya menumpukan perhatian kepada komplot penipuan Macau,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sindiket ini katanya lagi beroperasi dengan menipu orang ramai melibatkan wang berbilion ringgit dengan menelefon mangsa di China dan Taiwan dan menipu mereka dengan berkata yang mereka telah disaman kerana gagal membayar hutang kad kredit.

Dengan menyamar sebagai anggota pilis dan pegawai mahkamah, anggota sindiket kemudian akan memberitahu mangsa supaya dengan segera menelefon bank mereka untuk mendapatkan maklumat lebih lengkap.

Mereka kemudian akan memintas panggilan tersebut menggunakan kaedah teknologi Internet Protocol (VoIP) dan memberitahu mangsa supaya mendepositkan sejumlah wang ke dalam satu akaun jika tidak mahu kes mereka dibawakan ke mahkamah.

Menurut Syed Ismail, kesemua suspek dipercayai memasuki negara ini pada awal dan pertengahan Mac dan masih menerima latihan daripada pengendali-pengendali sindiket tentang cara-cara untuk memperdayakan mangsa.

Adalah difahamkan sindiket ini tidak menipu penduduk di negara mereka menjalankan operasi bagi mengelak pihak berkuasa daripada menjejaki kegiatan mereka dengan mudah.

Katanya, walaupun operasi yang dijalankan dari Desa Serdang ini sedikit berbeza dengan operasi di Country Heights Kajang tetapi ia didalangi oleh orang yang sama yang disyaki seorang warga China.

Mereka juga dipercayai mempunyai cawangan di seluruh Asia Tenggara.

Adalah difahamkan juga, sepasukan anggota polis dari Taiwan dan China akan tiba di sini dalam beberapa hari lagi untuk membantu pihak berkuasa tempatan melengkapkan siasatan mereka.

“Kami akan hanya menyerahkan kesemua suspek kepada pihak berkuasa Taiwan dan China selepas ini kerana kesemua mereka adalah dari kedua-dua negara ini,” kata satu sumber.

Kesemua 144 anggota sindiket yang ditahan dalam serbuan di Country Heights Kajang telah direman selama seminggu untuk membantu siasatan.

Dalam serbuan di Kajang semalam, para suspek yang ditahan sedang mengendalikan pertaruhan menerusi telefon untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.

Sindiket itu menyewa enam rumah banglo yang berharga antara RM15,000 dan RM20,000 sebuah dalam kawasan kejiranan yang berpagar.

Empat rumah banglo didiami seramai 144 orang, termasuk 54 wanita.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, warga asing yang berusia dalam lingkungan 20an memasuki negara ini pada 6 Mac lalu.

“Semua suspek menjalankan operasi mereka menggunakan komputer riba dan telefon ketika serbuan dilakukan,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan.

Dua suspek cedera apabila mereka cuba untuk melarikan diri dengan memanjat keluar dari tingkap.

Dipercayai, sindiket itu mengaut berbilion ringgit dalam pertaruhan dan perjudian itu sejak beberapa bulan lepas.

Tun Hisan berkata, polis merampas wang tunai berjumlah RM35,800, 241 telefon, 43 komputer riba dan 48 modem daripada keempat rumah tersebut.

Beliau berkata, sindiket itu mensasarkan warga China, Portugis dan Taiwan sebagai mangsa mereka.

Beliau menambah, polis masih sedang memburu dalang sindiket yang dipercayai melibatkan rakyat tempatan.

Artikel Lain