suria

Petronas Nafi Gas Amonia Bocor Daripada Lojinya

KUALA TERENGGANU: Petronas menafikan kejadian pelepasan ammonia di Kerteh pada 8.30 malam Khamis berpunca dari mana-mana lojinya di Kompleks Industri Petroleum Petronas di Kerteh.

Menurut kenyataan Pejabat Wilayah Pantai Timur Petronas Kerteh, pihak berkuasa masih menyiasat insiden itu.

Adalah dipercayai pelepasan gas tersebut berlaku di sebuah loji lain yang tiada kaitan dengan syarikat petroleum negara itu.

Kejadian itu melibatkan 23 kakitangan kontraktor, Hyundai PFCE, yang sedang menjalankan kerja menyenggara di loji Petronas, terhidu gas itu sehingga menyebabkan mereka dihantar ke beberapa pusat perubatan di Kerteh, Dungun dan Kuala Terengganu.

Sehingga tengah tadi, 22 daripada mereka telah dibenarkan pulang dan pihak Petronas telah menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terlibat.

Menurut kenyataan itu, keadaan di kawasan loji Petronas adalah terkawal dan selamat serta pihak syarikat telah mengambil segala langkah-langkah kawalan yang diperlukan. -BERNAMA

Artikel Lain