suria

Peruntukan RM67 Juta Untuk Bantu Keluarga Miskin Di Pahang

TEMERLOH: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan sebanyak RM67 juta sebagai bantuan kepada 23,153 keluarga miskin di Pahang tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata bantuan itu bertujuan membolehkan golongan terbabit meningkatkan taraf penghidupan sekali gus keluar daripada kemiskinan.

"Di bawah Program Karisma 1Azam, kementerian berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat di mana seramai 63,147 keluarga diberikan bantuan dalam tempoh dua tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program Karisma 1Azam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat peringkat Negeri Pahang di Dataran Tok Gajah yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Shahrizat berkata selain bantuan kewangan, pihaknya turut memberikan bantuan peralatan perniagaan kepada mereka yang menjalankan perniagaan supaya pendapatan mereka bertambah sekaligus menjadi usahawan berjaya.

Beliau berkata pihaknya turut memberikan bantuan sebanyak RM905,000 kepada 11 buah badan NGO di Pahang bagi menjalankan pelbagai kegiatan membantu golongan sasar dan miskin.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut berucap pada majlis itu, berkata kerajaan negeri bersetuju menambah jumlah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada golongan sasar dan miskin berkuatkuasa Januari lepas di Pahang.

"Dengan kenaikan bantuan tersebut, penerima yang dulu menerima bantuan JKM sebanyak RM270 sebulan akan menerima bayaran RM300 sebulan mulai awal tahun ini, kerajaan negeri akan tambah RM30 menjadikannya genap RM300, tunggakannya akan dibayar tidak lama lagi," katanya.

Adnan berkata kenaikan bayaran bantuan itu membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak muflis sebagaimana dakwaan pembangkang, malah kerajaan mampu menguruskan perbelanjaan negeri itu dengan baik. - BERNAMA

Artikel Lain