suria

Kes Curi Kabel: TNB Rugi RM168.5 Juta

BUTTERWORTH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerugian RM168.5 juta berikutan kes kecurian kabel sepanjang tahun 2004 hingga Februari 2012.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata sepanjang tempoh itu, Selangor mencatat jumlah kerugian tertinggi sebanyak RM52.6 juta diikuti Johor (RM29.9 juta) dan Kuala Lumpur (RM25.8 juta).

"Kita minta bantuan semua pihak. Kabel TNB beratus-ratus ribu kilometer. Untuk menjaga keseluruhan kabel-kabel ini mungkin kita tidak mempunyai tenaga kerja yang secukupnya untuk menjaga semua kabel kita.

"Jadi kita minta semua pihak untuk membantu TNB dalam pemantauan sekiranya berlaku kecurian. Banyak kerugian, kalau berlaku satu-satu kecurian itu," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen kesedaran Keselamatan Elektrik TNB 2012 peringkat kebangsaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini, Sabtu.

Beliau berkata TNB sentiasa bekerjasama dengan polis melakukan rondaan bagi memantau kegiatan curi kabel ini.

Mengulas mengenai jumlah kes kemalangan elektrik, Che Khalib berkata jumlah kes yang direkodkan oleh Suruhanjaya Tenaga menunjukkan penurunan pada setiap tahun.

Katanya, 62 kes direkodkan sepanjang tahun lepas berbanding 69 kes pada tahun 2010, dengan Pulau Pinang mencatat sembilan kes dan daripada jumlah itu, 28 kes melibatkan kemalangan maut.

Beliau berkata penurunan yang dicatatkan pada setiap tahun itu menunjukkan tahap kesedaran orang awam terhadap keselamatan elektrik semakin meningkat dengan kempen-kempen kesedaran keselamatan yang dilaksanakan TNB.

Che Khalib berkata Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik TNB yang dilaksanakan sejak tahun 2008 itu berjaya meningkatkan kesedaran orang awam terutamanya kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga keselamatan elektrik.

Beliau berkata TNB mensasarkan seramai 3,900 murid Tahap 2 akan menyertai kempen itu pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain