suria

Dadah Bernilai Hampir RM2 Juta Dirampas Dalam Masa Dua Jam

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan dadah ke negara ini bernilai hampir RM2 juta Khamis lepas dan menahan tiga lelaki warga asing dalam masa dua jam.

Timbalan Pengarah Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Siti Baya Berahan berkata pihaknya menahan dua lelaki warga Hong Kong berusia 56 dan 60 tahun di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 12.30 pagi hari berkenaan.

Bertindak atas maklumat orang awam, beliau berkata sepasukan Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat bersama Bahagian Penguatkuasaan KLIA menyerbu kondominum tersebut dan menemui pelbagai jenis dadah.

"Pemeriksaan, pihak kastam menemui dadah seperti Syabu, Ketamin, Eramin 5 dan ganja bernilai RM1.43 juta dalam premis tersebut," katanya pada satu sidang akhbar di sini, Sabtu.

Siti Bayan berkata kira-kira dua jam kemudian pihaknya menahan pula seorang lelaki warga India cuba menyeludup masuk dadah jenis Ketamin seberat 12 kilogram bernilai RM480,000 disorok di bahagian belakang 12 bingkai cermin muka di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.

Beliau berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang tiba dari Bangalore pukul 2.30 pagi ditahan apabila imbasan ke atas 12 unit cermin muka yang dibawanya menampakkan imej meragukan.

"Hasil pemeriksaan rapi, pasukan penguatkuasaan kastam menemui satu lapisan plastik putih di bahagian belakang bingkai cermin dan apabila bungkusan dibuka terdapat serbuk putih yang kemudiannya disahkan positif Ketamin," katanya.

Siti Bayan berkata ketiga-tiga suspek yang memasuki negara ini sebagai pelancong kini ditahan reman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada tahun ini, sehingga Khamis lalu, JKDM berjaya mematahkan 22 cubaan penyeludupan dadah ke negara ini bernilai RM16.77 juta dan merampas 89.227 kilogram pelbagai jenis dadah melalui Bangunan Terminal Utama KLIA (15 kali), LCCT (lima percubaan), satu kes di Kepong dan satu lagi di Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain