suria

Badan Uniform Sekolah Perlu Diberi Nafas Baru - Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah agar sukatan kokurikulum badan beruniform di sekolah seperti Pengakap, Bulan Sabit Merah, Kadet Tentera dan Polis diberi nafas baru.

Titah baginda ia bagi memastikan segala aktiviti yang dijalankan bukan sekadar memenuhi keperluan jam kredit semata-mata, tetapi yang lebih penting dapat memberi manfaat berterusan kepada pelajar, sekolah dan masyarakat secara keseluruhannya.

"Beta yakin, para pelajar akan dapat menilai, memahami dan seterusnya mengamalkan ilmu yang dipelajari melalui pengalaman yang berguna ini (menerusi aktiviti badan beruniform sekolah)," titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Majlis Graduasi Pelajar Tingkatan 5, Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir kali kesembilan, di sini Sabtu.

Selain pembacaan, titah baginda aktiviti luar kelas seperti kajian lapangan atau aktiviti kemasyarakatan perlu didedahkan secara optimum kepada pelajar agar mereka menikmati pengetahuan terkehadapan.

Pengukuhan aktiviti ko-kurikulum dan sukan akan memberikan nilai tambah kepada pelajar tentang sesuatu disiplin ilmu, titah baginda.

Baginda turut menitahkan rakyat agar terus memperteguh tunjang dan asas nilai tradisi yang positif walaupun berada dalam dunia tanpa sempadan ekoran kecanggihan teknologi maklumat yang ada pada hari ini.

Titah baginda, pemodenan tanpa landasan nilai-nilai sosial yang terbaik akan menjadikan kemajuan yang dicapai bersifat rapuh dan tidak dapat dilestarikan.

"Sehubungan itu, adalah menjadi suatu tanggungjawab yang besar kepada bukan sahaja para guru malahan ibu bapa untuk menanam jati diri yang utuh di dalam diri anak-anak dengan nilai-nilai murni," titah baginda.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah dan sijil kecemerlangan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik dan kokurikulum sekolah berkenaan.

Turut berangkat ke majlis itu Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin. - BERNAMA

Artikel Lain