suria

Tiga Ditahan Bantu Siasatan Kes Samun Klinik Perubatan Di Jelutong

GEORGE TOWN: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam dua kes samun di klinik perubatan di Jetutong, pada Khamis, kurang 24 daripada kes-kes itu dilaporkan.

Turut ditahan bersama lelaki berusia 27 dan 39 tahun itu ialah seorang wanita rakyat Vietnam berusia 23 tahun yang merupakan teman wanita seorang daripada suspek itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata tangkapan pertama dibuat di hadapan sebuah restoran di Jelutong pada pukul 12.30 tengah malam Khamis.

"Suspek ditangkap semasa memandu kereta mewah. Hasil soal siasat, polis menemui dua bilah pisau dan menahan seorang lagi lelaki pada pukul 2 pagi di sebuah hotel bajet. Lelaki kedua itu ditahan bersama teman wanitanya," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis merampas pelbagai barangan milik mangsa berupa telefon bimbit, i-Pad, seutas jam tangan, alat pencabut gigi, perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan beg, yang kesemuanya bernilai RM9,000.

Gan berkata siasatan awal polis juga mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai kes jenayah lampau dan mereka juga positif dadah.

"Suspek yang berumur 27 tahun dari George Town mempunyai 13 rekod jenayah manakala suspek kedua yang berumur 39 tahun dari Kelantan ada satu rekod kes bunuh dan pernah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain