suria

Rumah Kerabat Sultan Selangor Di Bukit Tunku Dipecah Masuk

KUALA LUMPUR: Rumah mewah tiga tingkat kerabat Sultan Selangor dimasuki dua lelaki dan mereka melarikan sebuah kereta mewah Mercedes Benz serta barangan berharga di Bukit Tunku di sini, Jumaat.

Kejadian pada kira-kira 5 pagi itu dilakukan dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang telah memecah masuk melalui tingkap depan sebelum mengikat tiga pembantu rumah wanita di kediaman itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam kejadian 5.30 pagi itu, dua lelaki dipercayai warga Indonesia yang bersenjatakan pisau telah memecah masuk rumah berkenaan melalui tingkap depan.

Beliau berkata mereka kemudian mengurung empat pembantu rumah, termasuk dua pembantu rumah lelaki yang diikat di dalam sebuah bilik.

"Semasa kejadian, kesemua ahli keluarga kerabat Diraja Selangor itu tiada di rumah kerana mereka berada di luar negara. Hanya pembantu-pembantu rumah sahaja yang menjaga rumah itu. Mereka tidak dicederakan," katanya dalam satu pesanan ringkas kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau turut mengesahkan seorang lelaki ditahan beberapa jam sejurus kejadian itu untuk disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Sumber polis yang ditemui di rumah itu memberitahu siasatan awal polis mendapati tingkat dua dan tiga rumah itu telah digeledah dua lelaki itu berdasarkan banyak kesan cap jari ditemui.

Katanya polis masih menjalankan siasatan dan rumah berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain