Polis Sedang Kesan Dalang Sindiket Penipuan Internet - Semasa | mStar

Polis Sedang Kesan Dalang Sindiket Penipuan Internet

JOHOR BAHARU: Polis sedang mengesan dalang di sebalik sindiket besar penipuan internet dan judi bola sepak antarababngsa membabitkan beberapa buah negara lain dengan tertangkapnya 144 warga asing China dan Taiwan yang menjadi rekrut sindiket itu di Kajang, Selangor, dua hari lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis kontinjen Selangor dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman kini menjalankan siasatan terperinci berhubung kegiatan berkenaan bagi mengesan dalang yang terlibat.

"Polis sedang menyiasat kes itu dan pada saya ini satu petunjuk tentang satu sindiket yang mungkin bukan bergerak di dalam negara ini tetapi melibatkan negara-negara lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua Jabatan Siasatan Jenayah se-Malaysia, di sini, Jumaat.

Warga China dan Taiwan yang diberkas di enam buah banglo mewah di kawasan perumahan elit Country Height Kajang, Selangor, dua hari lepas itu dipercayai pekerja sindiket yang mampu mengaut keuntungan lebih RM4 bilion, menerusi kegiatan haram mereka. Menurut laporan, antara mangsa sindiket yang baru beroperasi sebulan itu ialah mereka yang menetap di Macau, China, Taiwan dan beberapa negara Eropah antaranya Portugal.

Sindiket itu dikatakan antara yang terbesar wujud di Selangor dan mereka menggunakan rumah yang disewa pada harga antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan bagi menjalankan kegiatan itu menerusi talian telefon dan internet. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Hamidin dipilih presiden MFL baharu