suria

Peguam Tarik Balik Saman Terhadap Jurugambar Bebas

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, Jumaat, membatalkan saman fitnah yang difailkan seorang peguam berjumlah RM10 juta terhadap seorang jurugambar bebas.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan tersebut selepas Kamal Hisham Jaafar (peguam) menarik balik permohonannya ke atas Mohamed Ali Ismail.

Zabariah turut membenarkan permohonan Mohamed Ali untuk menarik balik tuntutan balasnya terhadap Kamal Hisham berjumlah RM100 juta.

Bagaimanapun Zabariah memberi kebebasan untuk kedua-dua pihak memfailkan semula dan tiada sebarang kos ditetapkan. Kamal Hisham diwakili peguam Muhammad Abd Kadir manakala peguam Mohd Azrul Hisham mewakili Mohamed Ali.

Pada 7 Mac tahun lalu, Kamal Hisham memfailkan saman fitnah kerana mendakwa Mohamed Ali menulis dan menyampaikan secara lisan kandungan surat berunsur fitnah kepada Sultan Johor.

Mohamed Ali pula memfailkan saman balas pada 25 Mac 2011 dan menuntut ganti rugi RM100 juta kerana mendakwa Kamal Hisham telah menyebarkan satu surat berunsur fitnah kepada jabatan kerajaan dan media tempatan melalui pos, e-mel dan faks untuk merosakkan hubungan baik beliau dengan keluarga diraja Johor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain