suria

Lebih Ramai Pelancong Asing Dapatkan Rawatan Di Malaysia

PUTRAJAYA: Sektor pembedahan kosmetik di Malaysia semakin digemari dengan peningkatan kemasukan para pelancong kesihatan ke negara ini.

Ia merupakan antara pengkhususan perubatan yang paling banyak dicari oleh pesakit luar negara bersama sektor ortopedik dan kardiologi, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pesakit antarabangsa telah melahirkan keyakinan dalam kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia, yang ditawarkan pada kos yang munasabah.

"Mereka (pesakit luar negara) kini datang ke Malaysia untuk pembedahan kosmetik. Kebanyakan doktor kita amat berkelayakan dan dilatih di luar negara. Kita mendapat pesakit (dari sejauh) Britain, " kata Liow di kementerian itu di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bersama Pengerusi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selepas menyampaikan sijil kepada 14 kemudahan penjagaan kesihatan yang mendaftar dengan majlis itu.

Majlis itu ditubuhkan di bawah kementerian itu pada 2009 untuk menjadi agensi utama dalam mempromosikan industri pelancongan kesihatan tempatan.

Sejumlah 583,296 pelancong kesihatan menyumbang sebanyak RM511.2 juta terhadap industri kesihatan tempatan tahun lepas.

Pendapatan industri telah melonjak sebanyak 34.9 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pendapatan tahunan dicatatkan sebanyak RM378.9 juta.

Indonesia mendahului senarai pesakit asing yang mendapatkan rawatan di sini tahun lepas dengan 335,150 pengunjung dengan sumbangan sehingga RM325.3 juta.

Perbelanjaan pelancong kesihatan lain yang utama adalah dari India (RM13.4juta), Australia (RM12.5juta) dan Jepun (RM11.1 juta).

"Kami kini mempunyai 63 kemudahan yang berdaftar dengan majlis dan sebagai ahli, mereka semua akan menikmati elaun cukai pelaburan sehingga 2014 bagi tujuan pengembangan modal mereka," kata Liow.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain