Kes Hasutan: Cubaan Karpal Untuk Semak Keputusan Terhadapnya Gagal - Semasa | mStar

Kes Hasutan: Cubaan Karpal Untuk Semak Keputusan Terhadapnya Gagal

PUTRAJAYA: Peguam Karpal Singh pada Khamis gagal dalam cubaan bagi mengkaji semula dan mengetepikan perintah Mahkamah Rayuan yang mengarahkannya membela diri atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan membabitkan Sultan Perak, tiga tahun lepas.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga anggota yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, menolak permohonan Karpal dengan menyatakan permohonan itu tidak mempunyai merit.

Panel dianggotai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Balia Yusof Wahi membuat keputusan itu selepas mendengar penghujahan Karpal dan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin.

Terdahulu, Karpal berkata, beliau memfailkan kajian semula hanya atas satu alasan bahawa salah seorang hakim Mahkamah Rayuan dalam panel sebelum ini, Datuk Clement Allan Skinner, tidak fasih dalam Bahasa Malaysia.

Katanya, sekiranya Clement tidak fasih dalam Bahasa Malaysia, beliau mungkin tidak dapat memahami kandungan penghakiman bertulis setebal 105 muka surat yang ditulis dan disediakan oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop dalam bahasa itu, yang menyebabkan kegagalan kuorum.

Karpal berkata, prosiding rayuan di hadapan panel sebelum ini dikendalikan dalam Bahasa Inggeris tetapi apabila tiba ke tahap penghakiman ia dalam Bahasa Malaysia yang mana Clement tidak dapat memahaminya.

Raus berkata, apabila seorang hakim menulis sebuah penghakiman, beliau akan mengedarkan kandungan penghakiman itu kepada hakim lain dalam panel untuk mereka membaca, sama ada bersetuju atau sebaliknya, sebelum diluluskan.

Ditanya oleh Raus bagaimana dia mengetahui Clement tidak fasih dalam Bahasa Malaysia, Karpal menjawab hakim itu dari Sabah dan hakim dari Malaysia Timur tidak fasih dalam bahasa itu dan mereka masih menggunakan Bahasa Inggeris dalam prosiding mahkamah di Sabah.

Raus berkata, Clement mungkin tidak fasih dalam Bahasa Malaysia tetapi ia tidak bermakna beliau tidak memahami bahasa kebangsaan.

Karpal turut meminta panel itu supaya memasukkan prosiding Clement untuk dia menjawab mengenai perkara itu.

Noorin berkata, dakwaan terhadap Clement adalah tidak berasas, hanya semata-mata tekaan dan tiada bahan.

Katanya, kegagalan kuorom adalah berkaitan dengan komposisi hakim dalam sebuah panel dan bukan kefasihan bahasa.

"Sekiranya salah seorang hakim dalam panel tidak hadir, maka ia adalah kegagalan kuorom dan tidak fasih dalam Bahasa Malaysia tidak bermakna Clement tidak memahami bahasa itu," katanya.

Karpal, 71, mahu Mahkamah Rayuan menggunakan kuasa sedia ada dan mengetepikan keputusan yang dibuat oleh panel itu pada 20 Jan, 2011, yang menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya pada 11 Jun, 2010.

Karpal didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur, antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 6 Februari 2009.

Dia didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak dan pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk jawatan itu oleh Sultan Perak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain