Tiga Maut Terperosok Bawah Lori - Semasa | mStar

Tiga Maut Terperosok Bawah Lori

KOTA BARU: Dua lelaki dan seorang wanita maut selepas kereta yang mereka naiki terperosok di bawah sebuah lori dalam satu kemalangan ngeri di Bukit Cina, Kok Lanas, di sini malam Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Baharu, DSP Ahmad Zaki Ibrahim berkata mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Tan Phei Shia, 24, bersama dua rakan lelaki, Eyu Win Lee, 30, dan Wee Wai Hwa, 24.

Ahmad Zaki berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, ketiga-tiga mangsa mati di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan akibat tersepit di dalam kereta yang remuk selepas terperosok di bawah badan lori berkenaan.

"Sejurus tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Eyu Win Lee, dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori terbabit.

"Bagaimanapun, pemandu lori itu bertindak melarikan diri dan sehingga kini belum tampil membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini Khamis.

Ahmad Zaki berkata ketiga-tiga mangsa yang tersepit itu dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing yang tinggal di Pasir Mas dan Pulai Chondong, Machang.

Katanya pihak polis sudah mengambil keterangan daripada saksi di tempat kejadian untuk membantu siasatan dan kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Wan Ngah Wan Long berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.29 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dan 13 anggota dari Balai Ketereh dan Machang.

Wan Ngah berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dengan menggunakan bantuan kren bagi mengalihkan lori yang menghempap kereta mangsa.

Salah seorang anggota keluarga Wee Wai Hwa yang enggan dikenali berkata, Wee yang sedang belajar di Universiti Malaya akan menamatkan pengajian dalam jurusan undang-undang, pulang ke kampung untuk satu upacara menghormati nenek moyang.

Wee juga sepatutnya menghadiri jamuan makan malam keluarga, namun keluar dari rumah selepas dua rakannya itu tiba.

"Dia keluar rumah tanpa memaklumkan kepada keluarga. Selepas itu kami dapat berita mengenai kemalangan ini," katanya.

Anggota keluarga dua lagi mangsa yang ditemui di rumah mayat HUSM bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih bersedih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

TPM Lawat Kedah Hari Ini

Artikel Berkaitan

default image

Khaled Nordin Perjelas Komen Twitter

Artikel Lain