suria

Tiada Unsur Jenayah Dalam Kes Culik Remaja Perempuan

SHAH ALAM: Tiada unsur jenayah dalam kes penculikan membabitkan seorang remaja perempuan yang ditemui oleh polis Thailand pada 11 Mac lepas, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob.

Beliau berkata perkara itu disahkan berdasarkan laporan yang diterima daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) selepas kertas siasatan berhubung kes penculikan itu selesai pada 27 Mac lepas.

"Kita telah terima maklum balas daripada pihak DPP dan menggugurkan unsur jenayah dalam kes penculikan itu, serta kini kes diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Polis ke-205 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini Khamis.

Zahedi berkata beliau difahamkan pihak JKM sedang meneliti tindakan sewajarnya terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun itu untuk dimajukan kepada pejabat DPP.

Manakala kesemua lima remaja Myanmar yang turut ditemui bersama remaja perempuan itu telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), katanya.

Kes berkaitan remaja perempuan itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 366 Kanun Keseksaan iaitu menculik untuk tujuan pelacuran atau melakukan persetubuhan luar nikah.

Zahedi dalam sidang media pada 26 Mac lepas mendedahkan remaja perempuan terbabit adalah perancang utama bersama lima lagi remaja Myanmar yang kononnya turut diculik dalam kes berkenaan.

Beliau berkata maklumat itu adalah berdasarkan keterangan konsisten daripada lima remaja Myanmar berusia antara 14 dan 17 tahun terbabit ketika disoal siasat.

Katanya difahamkan kumpulan remaja terbabit termasuk remaja perempuan itu menjalankan aktiviti kutipan derma secara haram dan mengenali rapat antara satu sama lain.

Sementara itu, Zahedi meminta supaya ibu bapa mengawasi dan mengambil tahu aktiviti serta pergaulan anak mereka bagi memastikan kes sama tidak berulang kerana ia menyebabkan kerugian yang besar kepada semua pihak.

"Bayangkan bila kes besar seperti ini kita perlu menjalankan siasatan yang serius dan mengeluarkan kos tinggi tetapi akhirnya tidak ada kes," katanya.

Remaja perempuan itu dan lima remaja Myanmar terbabit diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok setelah mendakwa diculik ke negara jiran itu.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada warga IPD Shah Alam dan orang awam menyertai program derma darah anjuran bersama Pusat Darah Negara. - BERNAMA

Artikel Lain