suria

Polis Tumpas Sindiket Judi Antarabangsa Berbilion Ringgit

KUALA LUMPUR: Satu sindiket perjudian haram antarabangsa berjaya ditumpaskan oleh pihak polis pada Khamis apabila membuat serbuan di enam rumah di Country Heights, Kajang dan menahan seramai 144 warga China dan Taiwan.

Polis telah mengesan aktiviti sindiket itu lebih awal dan serbuan pada pukul 1 petang Khamis dilakukan selepas dua minggu perisikan dijalankan.

Aktiviti-aktiviti sindiket itu termasuk perjudian haram, penipuan Internet dan pertaruhan bola sepak.

Dalam serbuan itu, suspek ditemui sedang mengendalikan pertaruhan menerusi telefon untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.

Sindiket itu menyewa enam rumah banglo yang berharga antara RM15,000 dan RM20,000 sebuah dalam kawasan kejiranan yang berpagar.

Empat rumah banglo didiami seramai 144 orang, termasuk 54 wanita.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, warga asing yang berusia dalam lingkungan 20an memasuki negara ini pada 6 Mac lalu.

“Semua suspek menjalankan operasi mereka menggunakan komputer riba dan telefon ketika serbuan dilakukan,” katanya ketika ditemui di tempat serbuan.

Dua suspek cedera apabila mereka cuba untuk melarikan diri dengan memanjat keluar dari tingkap.

Dipercayai, sindiket itu mengaut berbilion ringgit dalam pertaruhan dan perjudian itu sejak beberapa bulan lepas.

Tun Hisan berkata, polis merampas wang tunai berjumlah RM35,800, 241 telefon, 43 komputer riba dan 48 modem daripada keempat rumah tersebut.

Beliau berkata, sindiket itu mensasarkan warga China, Portugis dan Taiwan sebagai mangsa mereka.

Beliau menambah, polis masih sedang memburu dalang sindiket yang dipercayai melibatkan rakyat tempatan.

Artikel Lain