suria

Muhyiddin Mahu Petani Wujudkan Nilai Tambah, Tidak Tumpu Hanya Pengeluaran

GURUN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta para petani di negara ini supaya tidak hanya menumpu kepada aspek pengeluaran tetapi melakukan nilai tambah dengan meneroka bidang baru seperti industri.

Beliau berkata dengan mewujudkan nilai tambah, para petani tidak hanya tertumpu kepada menjual barangan pertanian biasa dan juga dapat menambah pendapatan bagi menjamin masa depan yang lebih terjamin.

"Sebagai contoh Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan) yang telah menerokai bidang perindustrian dan menjadi salah sebuah kilang yang menghasilkan baja untuk pertanian.

"Ini bermakna ia telah meningkat ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Mungkin satu hari nanti mereka boleh mengeluarkan jentera pertanian pula," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan khas bersama pemimpin peladang seluruh Kedah dan merasmikan kilang Malaysia NPK Fertilizer Sdn Bhd di sini, Khamis.

NPK Fertilizer memulakan operasinya pada November 2004 dengan menggunakan kepakaran teknologi dari Sepanyol dan merupakan satu-satunya kilang di Malaysia yang menggunakan urea cecair dalam pengeluaran baja sebatian.

Muhyiddin berkata para petani perlu mengorak langkah ke hadapan dan mencari peluang-peluang baru untuk meningkatkan pendapatan jangka masa panjang.

"Sebagai petani biasa pun kita tidak mahu mereka hanya menanam padi semata-mata tapi kita mahu mereka memproses makanan atau membuat bahan-bahan sampingan untuk tambah hasil pendapatan mereka.

"Itu sudah termasuk dalam dasar agro makanan yang telah kita luluskan baru-baru ini," katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata sektor pertanian yang mengeluarkan bahan-bahan makanan menjadi semakin penting berikutan peningkatan jumlah penduduk dunia.

"Kawasan pertanian dunia semakin mengecil disebabkan tanah pertanian semakin berkurangan manakala penduduk pula semakin meningkat menyebabkan keperluan makanan bertambah.

"Jadi Industri pertanian negara kita boleh lebih berkembang dengan lebih luas dan boleh memasarkannya ke peringkat antarabangsa. Itu yang kita mahu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain