suria

Mahfuz Pertahan Dakwaan Wujud Badan Bertindak Dalam Projek Pemberian Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan dakwaannya wujud badan bertindak yang terlibat dalam projek pemberian kad pengenalan di Sabah.

Mahfuz berkata beliau sedia mendedahkan butiran terperinci mengenainya kepada Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Beliau turut menjangka akan ada penafian oleh individu-individu yang dinamakan olehnya pada Selasa, antaranya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

"Saya sudah menjangka mereka yang saya sebut semalam akan menafikan. Penafian mereka membuktikan dakwaan saya benar. Mereka boleh menafikan, biar Suruhanjaya Diraja menjawab," katanya pada sidang media di Lobi Parlimenpada Rabu.

Pada Rabu media melaporkan, Wan Ahmad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau antara individu yang didakwa terlibat dalam badan bertindak yang memberi kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi.

Wan Ahmad menyifatkan dakwaan Mahfuz itu sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Wan Ahmad hanya menafikan beliau tidak terlibat bukannya menafikan wujudnya badan bertindak sebagaimana yang didakwanya sebelum ini.

Beliau berkata, Wan Ahmad juga tidak menafikan wujudnya pemberian taraf kerakyatan kepada warga asing.

Bersandarkan kenyataan itu, Mahfuz menyifatkan Wan Ahmad bersama-sama dengan beliau menyedari kewujudan pendaftaran warga asing dalam daftar pemilih.

"Saya minta beliau duduk bersama saya (untuk tubuhkan Suruhanjaya DiRaja) dengan segera," katanya.

Sementara itu, sebuah akhbar melaporkan,Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab juga menafikan beliau terlibat dan menyifatkan dakwaan Mahfuz adalah tidak benar.

"Itu tidak benar…Saya tidak tahu apa-apa," katanya.

Artikel Lain