suria

Klinik 1Malaysia Bantu Ringankan Beban Rakyat

MELAKA: Apabila sebuah klinik 1Malaysia dibuka berhampiran rumahnya di Taman Merdeka, Mohd Salim Manap menarik nafas lega kerana beban kewangannya dapat dikurangkan.

"Anak perempuan saya yang berumur 13 tahun menghidap penyakit lelah dan saya sentiasa menghantarnya ke klinik swasta berdekatan jika keadaan kesihatannya teruk," kata pekerja am berusia 38 tahun itu.

Kos untuk satu sesi rawatan menelan belanja RM30 dan Mohd Salim berkata, dia membelanjakan lebih RM200 setiap bulan.

"Ia menelan kos belanja yang besar," kata Mohd Salim.

Sebaik saja klinik 1Malaysia dibuka tahun lalu, Mohd Salim hanya perlu membayar RM1 untuk satu kunjungan.

"Ia telah mengurangkan beban kewangan saya," katanya ketika ditemui di klinik tersebut.

Sementara itu, isterinya, Noriah Che Mat, 36, memberitahu pengunjung tidak perlu menunggu terlalu lama.

Ini kerana, katanya, klinik tersebut menyediakan rawatan membabitkan kes tidak kronik.

"Klinik ini menyediakan akses mudah kepada rawatan perubatan berpatutan terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah," katanya.

Klinik 1Malaysia dilancarkan pada Januari 2010.

Sehingga hari ini, terdapat 50 buah klinik yang dibina kerajaan untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam, klinik tersebut menyediakan rawatan demam, selesema dan penyakit-penyakit ringan yang lain.

Ia juga menawarkan rawatan susulan untuk kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit lelah serta membersihkan luka.

Seorang penolong pegawai perubatan di klinik 1Malaysia Taman Merdeka, Leow Kian Quee berkata, kira-kira 120 pesakit datang untuk mendapatkan rawatan setiap hari.

Sabariah Arbanyin, 50, yang datang ke klinik tersebut untuk mendapatkan pemeriksaan tekanan darah berkata, dia telah berkunjung ke situ sejak tiga bulan lalu.

"Ia amat mudah. Hanya mengambil masa selama 10 minit dari rumah saya," katanya.

Seorang pesara, Pang Ah Lek, 69, yang tinggal di Taman Merak Mas memberitahu dia tidak mahu menyusahkan anak saudaranya untuk membayar kos rawatan perubatan.

"Bayaran yang dikenakan hanya RM1 dan saya boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan berkualiti.

"Klinik tersebut berdekatan dengan rumah saya. Saya tiada masalah untuk berjalan kaki ke sini," katanya.

Seorang peniaga, Liew Siang Chai, 45, berkata dia berharap agar tempoh operasi klinik itu boleh dilanjutkan untuk kes kecemasan.

Artikel Lain