suria

Ganggu Prosiding: Tiga Ahli Parlimen Diarah Keluar Dewan

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengarahkan tiga ahli Parlimen keluar daripada dewan selama sehari kerana menggangu perjalanan sidang Parlimen pada Khamis.

Mereka yang digantung Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Ketiga-tiga wakil rakyat itu diarahkan keluar selepas menggangu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat-Permatang Pauh) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012.

Kekecohan bermula apabila Gobalakrishan (Bebas-Padang Serai), tidak berpuas hati dengan jawapan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) yang menyokong permintaan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota).

Kiandee beberapa kali mengarahkan Gobalakrishan duduk beberapa kali namun beliau enggan mendengar arahan tersebut.

“Duduk Padang Serai. Kita ada perkara yang serius hendak dibincang, kalau, Yang Berhormat rasa ada yang lain pergi bincang di kantin,” katanya.

Keengganan wakil rakyat Bebas itu, menyebabkan Kiandee mengarahkan bentara untuk mengiringi Gobalakrishnan keluar daripada Dewan Rakyat.

“Saya minta Padang Serai keluar sehingga selesai sidang dewan hari ini,” tegasnya.

Selepas itu, kekecohan sekali lagi timbul apabila Saifuddin dan Tajuddin pula bertikam lidah berkaitan isu lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya ke Konrad Adenauer Foundation di Jerman.

Tajuddin mendakwa Saifuddin yang membangkitkan soal lawatan itu kerana kononnya ingin menunjuk-nunjuk integriti beliau yang menyebabkan Saifuddin berang.

Pertikaman lidah yang berlaku akhirnya menyebabkan kedua-dua Ahli Parlimen itu diarah keluar dewan bagi membolehkan sesi perbahasan diteruskan.

"Yang Berhormat Machang dan Pasir Salak, saya minta Yang Berhormat berdua keluar dari dewan sehingga selesai mesyuarat hari ini," tegas Kiandee selepas beberapa amaran yang diberikan kepada mereka tidak dipedulikan.

Artikel Lain