suria

DBKL Serah Kunci Rumah Kepada 35 Keluarga Penghuni Flat Kampung Kerinchi

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Rabu menyerahkan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada 22 keluarga di kawasan perumahan Flat 17 Tingkat, Kampung Kerinchi di sini.

Mereka adalah antara 35 keluarga yang sebelum ini enggan berpindah ke kediaman baru yang disediakan DBKL sejak tahun 2009, kata Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL Sukiman Surahman.

Beliau berkata penyerahan kunci dan perpindahan penduduk di flat itu merupakan fasa terakhir dan berharap mereka dapat mengosongkan kediaman masing-masing dengan kadar segera selewat-lewatnya sebelum 10 April.

"DBKL berpuas hati kerana baki 35 keluarga yang enggan berpindah sebelum ini telah bersetuju berbuat demikian walaupun masih ada 13 keluarga yang tidak hadir untuk mengambil kunci rumah baru mereka.

"Mereka yang belum mengambil kunci boleh berbuat demikian di pejabat pemaju yang terletak berhampiran kawasan ini...kami turut menyediakan kemudahan lori pada hari ini dan esok bagi memudahkan kerja mengangkut barang dan proses pemindahan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada penghuni terlibat. Seramai 25 penghuni akan ditempatkan di PPR Muhibbah manakala 10 penghuni lagi di PPR Cempaka.

Sukiman berkata penghuni yang mempunyai masalah seperti ingin menukar kediaman mereka yang berada di tingkat atas ke tingkat bawah atas alasan wajar boleh merujuk kepada pemaju untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata penghuni sepatutnya berasa lega apabila melihat sendiri rumah baru mereka kerana selain siap dicuci dan dilengkapi bekalan elektrik serta air, ia mempunyai tiga bilik yang lebih selesa berbanding unit kediaman mereka sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Lain