suria

UPP Rampas Petrol, Diesel Cuba Diseludup Lebih RM82,000

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP)Bukit Kayu Hitam merampas lebih 39,000 liter petrol dan 4,000 liter diesel bernilai RM82,725 yang cuba diseludup, dari empat kenderaan dalam operasi di sekitar Bukit Kayu Hitam dan Changlun sejak petang semalam hingga awal pagi Rabu.

Komander UPP Kedah Abd Latif Abd Rahman berkata operasi yang bermula 6 petang sehingga 4 pagi oleh sembilan anggota dan pegawai itu turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 50 tahun, yang merupakan pemandu kenderaan.

Katanya empat kenderaan terlibat tidak mempunyai dokumen pemilikan membawa minyak petrol atau diesel, ke dalam tangki yang telah diubah suai, dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

"Kes cuba seludup petrol pertama adalah pada pukul 10 malam tadi di KM10.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Bukit Kayu Hitam melibatkan kenderaan Pajero itu. Kes kedua di KM1.9 Lebuhraya Utara Selatan dari Bukit Kayu Hitam ke Changlun menerusi kereta Volvo pada pukul 12 tengah malam tadi.

"Kes ketiga pada pukul 1.10 pagi ini melibatkan lori tangki yang membawa 32,000 liter petrol dekat KM28.5 Lebuhraya UUM Sintok-Kuala Perlis. Kes diesel pada pukul 9.15 malam di depan Medan Selera Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam melibatkan lori yang membawa 4,000 liter diesel," katanya kepada pemberita di UPP Bukit Kayu Hitam di sini, Rabu.

Katanya pemeriksaan mendapati kenderaan-kenderaan ini mempunyai tangki tambahan yang diubahsuai bertujuan untuk mengisi minyak petrol dan diesel pada bahagian dalam dan atas kenderaan mereka.

"Saya tidak pasti sama ada keempat-empat lelaki ini mempunyai kaitan sindiket atau tidak kerana kes masih dalam siasatan lagi" katanya.

Kes diserah kepada Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kubang Pasu mengikut Seksyen 21 Akta kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit Kesalahan boleh didenda RM250,000 bagi individu dan RM500,000 bagi syarikat atau penjara tidak kurang tiga tahun.

Dalam operasi itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang cuba menyeludup 17 guni anak benih kerang bernilai RM10,200 pada pukul 7.30 malam di KM1.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah ke Thailand.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta Proton Wira menemui 14 guni anak benih kerang disorok dalam bonet belakang kenderaan dan tiga guni di tempat duduk penumpang belakang. Benih kerang ini diseludup ke Thailand kerana sekarang merupakan musim kerang membiak tambahan pula pemintaan di sana meningkat kerana Thailand tidak boleh menghasilkan benih kerang sendiri," katanya.

Kes diserahkan dan disiasat oleh Jabatan Perikanan Kuala Kedah di bawah Peraturan 4 Akta Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang 2002) dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak kurang satu tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain