suria

Saksi Beritahu Wang Berjumlah Lebih RM5 Juta Diberi Kepada Pekerja Hasbie

BUTTERWORTH: Seorang pengurus projek sebuah syarikat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa lebih 30 keping cek syarikat dan cek persendirian berjumlah lebih RM5 juta ditunaikan dan diberikan kepada dua lelaki yang mendakwa bekerja dengan Hasbie Satar.

Pengurus Projek Gallant Route Sdn Bhd, Quah Hooi Eng berkata beliau difahamkan tujuan pemberian wang itu adalah sebagai dorongan untuk mendapatkan projek-projek kerajaan di bawah Kementerian Kewangan kerana Hasbie adalah Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika itu.

Saksi ke-13 dan yang terakhir dalam prosiding kes itu, berkata beliau kerap diarah untuk menunaikan cek-cek berkenaan oleh majikannya Tan Kim Chooi dan memberikan wang secara tunai kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai Japaruddin Ibrahim manakala pernah memberi wang tunai sekali atau dua kali kepada seorang lagi lelaki yang hanya dikenali sebagai Hatta.

"Saya mula kenal Japaruddin dan Hasbie dalam sebuah pub karaoke di Kuala Lumpur apabila Mr Tan (majikannya) meminta saya menemani dan melayan mereka," katanya di hadapan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin.

Katanya dalam perjumpaan itu, Japaruddin juga ada memberitahu beliau bahawa Hasbie adalah "bossnya".

Quah berkata tempat-tempat perjumpaan untuk memberikan wang tunai itu ditetapkan oleh Japaruddin di sekitar ibu negara setelah beliau menghubunginya.

Quah juga mengakui bahawa majikannya membiayai pembelian sebuah rumah oleh JBI Sdn Bhd yang berharga RM3.85 juta di Gita Bayu, Seri Kembangan, Selangor.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Anselm Charles Fernandis, Quah memberitahu beliau difahamkan syarikat JBI itu adalah merujuk kepada nama Japaruddin Bin Ibrahim dan sememangnya Japaruddin adalah pengarah syarikat berkenaan.

Katanya syarikat Gallant Route mengeluarkan wang sebanyak RM80,000 sebagai deposit pembelian rumah itu atas nama JBI Sdn Bhd. Quah berkata berdasarkan kepada perjanjian, rumah berkenaan kemudiannya akan disewakan kepada Hasbie oleh JBI Sdn Bhd.

Hasbie, 39, dituduh melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM2.134 juta di sebuah apartment di Teluk Air Tawar, pada pukul 3.30 petang, 11 Feb tahun lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1) Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Anti Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hasbie diwakili Tetuan Shafee & Co dan perbicaraan bersambung 7 Ogos depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain