suria

Rakyat Indonesia Dinasihat Sentiasa Patuhi Undang-Undang Malaysia

TAWAU: Konsul Indonesia yang baru di Tawau, Muhammad Soleh menasihatkan rakyat negara itu supaya sentiasa mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata di mana sahaja rakyat negara itu berada mereka harus menghormati peraturan dan undang-undang pemerintahan setempat.

"Mana-mana rakyat yang melanggar peraturan akan berdepan undang-undang di negara itu," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob di sini, Rabu.

Mengulas mengenai kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi dari Tawau ke Indonesia, Muhammad berkata perbuatan itu merupakan sesuatu yang menyalahi undang-undang dan seharusnya tidak dilakukan.

"Hasil penyeludupan tidak berkat, malah ia menyusahkan kedua-dua pemerintah (Malaysia dan Indonesia)," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan sebidang tanah bagi membina sebuah bangunan untuk menempatkan pejabat konsulat negara itu di Tawau untuk kemudahan rakyatnya yang bekerja di Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sendiri.

"Tawau merupakan pintu utama rakyat Indonesia untuk masuk ke Sabah melalui Nunukan di Kalimantan Timur. Ia wajar mempunyai bangunan sendiri," katanya.

Mengenai rakyat negara itu yang bekerja di sini, Muhammad bersyukur kerana sudah ramai majikan sektor perladangan dan perkilangan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang yang berasal dari negara berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain