suria

Media Boleh Mengundi Pos Antara Syor Yang Ditolak Sebahagian Anggota PSC

KUALA LUMPUR: Petugas media yang sebelum ini hanya membuat liputan ketika pilihan raya, kini berpeluang mengundi secara pos selepas syor Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Proses Pilihan Raya (PSC) diluluskan tanpa dibahaskan di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Bagaimanapun, syor itu adalah antara empat syor yang tidak dipersetujui oleh sebahagian anggota jawatankuasa itu dan melalui undian belah bahagi.

Pengerusinya, Datuk Dr Maximus Ongkili berkata dengan syor itu, semua petugas media yang disahkan oleh majikan dan bertugas pada hari mengundi di luar kawasan pendaftarannya, boleh memohon untuk berbuat demikian melalui Borang 1 (Permohonan bagi Kertas Undi Pos).

"Jawatankuasa mengambil maklum ulasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya petugas media diberi kemudahan mengundi secara pos yang akan diwartakan di bawah peraturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003," katanya ketika membentangkan laporan akhir itu di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau berkata jawatankuasa juga mengesyorkan supaya SPR melantik lebih petugas pilihan raya daripada tempat mereka mengundi supaya dapat mengurangkan bilangan petugas yang perlu mengundi secara pos.

Berhubung cadangan akses media yang bebas dan saksama diberi kepada semua parti dan calon yang bertanding, Ongkili berkata jawatankuasa mengambil maklum kesediaan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memberikan akses yang adil kepada semua parti dan calon yang diselaraskan oleh SPR.

Katanya jawatankuasa itu mengesyorkan SPR meneliti Fasal (2) Perkara 115 Perlembagaan Persekutuan yang boleh meminta pihak berkuasa untuk memberikan apa-apa bantuan yang dapat dilaksanakan berhubung perkara melibatkan akses media yang bebas dan saksama kepada semua parti dan calon yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya.

Sementara itu, tiga lagi syor adalah membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun, memanjangkan tempoh berkempen (minimum 10 hari) dan kajian ke arah pendaftaran automatik.

Ongkili berkata jawatankuasa mengesyorkan SPR mengkaji cadangan membenarkan prapendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 20 tahun, untuk dilaksanakan dalam tempoh Parlimen ke-13.

"Jawatankuasa mengambil maklum bahawa bagi membolehkan cadangan ini dilaksanakan pindaan hendaklah dibuat kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan seseorang warganegara yang layak memohon untuk didaftarkan sebagai pemilih hanya apabila seseorang itu mencapai umur 21 tahun," katanya.

Ongkili juga berkata jawatankuasa mengesyorkan SPR mengambil kira semua pandangan yang diberikan dalam menentukan satu tempoh berkempen menurut peruntukan undang-undang dengan tempoh tidak kurang dari 10 hari.

"Sebelum ini, subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 memperuntukkan tempoh minimum tujuh hari bagi maksud berkempen," katanya.

Mengenai pendaftaran secara automatik, jawatankuasa mengesyorkan SPR membuat kajian dan mengambil tindakan dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan cadangan itu dilaksanakan pada masa hadapan.

Katanya cadangan itu mempunyai asas yang baik namun hanya boleh dilaksanakan dalam jangka masa panjang memandangkan usaha pembersihan daftar pemilih secara keseluruhan perlu diutamakan.

Kesemua syor itu melalui undian belah bahagi pada mesyuarat terakhir jawatankuasa itu pada 28 Mac lepas, yang mana keempat-empat syor tidak dipersetujui oleh anggota Parlimen Gombak (Azmin Ali dari PKR), Rasah (Loke Siew Fook dari DAP) dan Kuala Krai (Dr Mohd Hatta Ramli dari Pas). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain