suria

Mayat Suri Rumah Ditemui Berlumuran Darah Di P.Pinang

NIBONG TEBAL: Seorang suri rumah ditemui mati berlumuran darah dengan beberapa kesan luka di leher dan badan di rumahnya di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat dekat sini malam Selasa.

Mayat P.Letchumi, 54, ditemui dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik di rumah itu oleh suaminya S. Nadharajan, 55, pada pukul 7.30 malam.

"Suami wanita itu yang bekerja sebagai pemandu lori baru pulang bekerja dan terkejut apabila mendapati pintu rumah mereka terbuka kerana selalunya mangsa sentiasa menutup pintu rumah," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafien Mamat.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati mangsa mungkin mengenali suspek kerana tiada kesan rumahnya dipecah masuk dan polis menolak kemungkinan kes itu bermotifkan rompakan.

Shafien berkata berdasarkan hasil bedah siasat, Letchumi dipercayai dibunuh kira-kira tiga jam sebelum mayatnya ditemui.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu di GEORGE TOWN, mayat seorang lelaki berusia 60 tahun ditemui oleh orang awam dalam sebuah longkang di Bandar Baru, Air Itam dekat sini pada pukul 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata berdasarkan siasatan awal, polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

DiKUANTAN, mayat seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an ditemui dalam keadaan tertiarap dalam parit di ladang kelapa sawit Felda Lepar Hilir 8 pada pukul 9 pagi ini.

"Mangsa yang memakai t-shirt berjalur warna kelabu dan berseluar jeans dipercayai terjatuh ke dalam parit berkenaan," katanya Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha.

Beliau berkata tiada sebarang identiti dijumpai dan mayat lelaki itu di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain