suria

Mayat Baharudin Dibawa Ke Hospital Atas Sebab Keselamatan - Pakar Kecemasan

KUALA LUMPUR: Seorang Pakar Perubatan Kecemasan pada Selasa memberitahu Mahkamah Koroner bahawa mayat pemandu teksi Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, perlu dibawa ke hospital atas faktor keselamatan.

Dr Sarah Shaikh Abdul Karim, 37, berkata beliau telah mengarahkan pasukan perubatannya membawa dengan segera pemandu teksi itu dari Pusat Beli-Belah Avenue K ke hospital kerana bimbang berlaku ketegangan emosi oleh peserta perhimpunan di lokasi kejadian itu.

"Biarpun saya sudah dimaklumkan pasukan perubatan bahawa Baharudin tidak menunjukkan sebarang reaksi untuk hidup ketika di tempat kejadian, mangsa harus dibawa segera ke hospital memandangkan keadaan situasi lokasi mangsa ditemui boleh mencetuskan ketegangan emosi termasuk kepada pasukan paramedik.

"Keadaan di Avenue K boleh bertukar menjadi agresif dan menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga keselamatan pegawai perubatan, sebab itu saya arahkan mereka bawa mangsa ke hospital walaupun saya telah dimaklumkan tiada tanda-tanda kehidupan lagi pada mangsa," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.

Dr Sarah, yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL), berkata dalam kes-kes kecemasan selain faktor keselamatan di tempat kejadian, seseorang pesakit yang mati di tempat kejadian boleh dibawa ke hospital jika keluarganya tidak dapat menerima kematian itu.

"Biasanya, apabila keluarga si mati tidak boleh menerima kematian itu, maka si mati boleh dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan terdapat juga situasi di mana pakar perubatan merasakan ada sesuatu yang lain boleh dibuat terhadap si mati," katanya.

Terdahulu, bekas Pengurus Keselamatan Avenue K, Hud Abdul Rahman, 61, memberitahu mahkamah bahawa terdapat seorang lelaki pengsan di pusat beli belah itu pada hari perhimpunan berkenaan.

Saksi inkues ke-21 itu berkata sejurus menerima maklumat tersebut daripada pegawainya, beliau ke Avenue K bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai apa yang berlaku di bangunan itu melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

"Sejurus tiba, saya melihat rakaman CCTV bersama beberapa pegawai saya yang memaparkan keadaan orang ramai lari berpusu-pusu masuk ke Avenue K dan dalam rakaman itu saya ditunjukkan mereka mangsa yang pengsan," katanya.

"Selain itu saya turut melihat rakaman CCTV yang memaparkan pergerakan ambulans membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Hud berkata adalah menjadi amalan dan tanggungjawabnya untuk memastikan pusat beli-belah Avenue K berada dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kerosakan disebabkan perbuatan orang awam sekiranya berlaku sesuatu demonstrasi.

Katanya, beliau memaklumkan kepada pegawai dan anggotanya bahawa satu rusuhan akan berlaku di sekitar kawasan itu dan mengarahkan mereka menurunkan pintu pagar besi jika berlaku sesuatu pada hari kejadian bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku di pusat beli-belah itu.

Bagaimanpun, Hud berkata orang ramai berusaha mengangkat pintu pagar besi Avenue K dan mereka akhirnya berjaya merangkak masuk ke pusat beli-belah itu walaupun pintu telah ditutup.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain