suria

Laporan PSC Dilulus Tanpa Bahas

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa meluluskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa sesi perbahasan.

Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika membuat keputusan tersebut menegaskan pembangkang tidak berminat untuk menyertai sesi perbahasan berhubung laporan PSC yang dibentangkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili serta mereka sengaja menimbulkan kekecohan.

Kekecohan yang berlaku pada 2.50 petang menyebabkan Pandikar membuka ruang pengundian yang menyebabkan usul tersebut diluluskan tanpa bahas.

Terdahulu, Pandikar telah mengarahkan tiga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan kerana menimbulkan kekecohan ketika sesi perbahasan Laporan PSC.

Mereka yang diarahkan keluar ialah Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Kekecohan bermula apabila Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari Selasa di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pada sesi awal pagi Selasa.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dzulkefly (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa (PKR-Subang).

Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti di sebelah pagi yang menolak tanpa alasan munasabah dan didakwa tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.

Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.

Ketika itu dewan sudahpun kecoh dan berlaku perang mulut antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mempertahan keputusan Speaker.

Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.

Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.

Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Anwar juga mendakwa Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.

Dalam kekecohan tersebut, Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.

Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain