Kes Tipu Ahli Perniagaan Babitkan Pengarah NFC Disebut 21 Mei Ini - Semasa | mStar

Kes Tipu Ahli Perniagaan Babitkan Pengarah NFC Disebut 21 Mei Ini

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan kes ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail, yang dituduh menipu Pengarah Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.755 juta.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Unit pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa membuat keputusan sama ada akan meneruskan kes dengan perbicaraan atau menggugurkan pertuduhan.

Kes itu, yang sepatutnya dibicarakan dua hari bermula Rabu, ditangguhkan selepas Abdul Razak memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menerima surat representasi daripada pihak pembelaan pada 14 Mac lepas untuk mengkaji semula pertuduhan yang dibuat terhadap Shamsubahrin.

Mahkamah turut menetapkan 16 hingga 27 Julai depan untuk perbicaraan kes.

Terdahulu, Abdul Razak memaklumkan pihaknya telah menerima telefon bimbit Shamsubahrin daripada pihak pembelaan pada awal bulan Mac untuk disiasat kandungan sistem pesanan ringkas (SMS) dalam telefon itu.

Abdul Razak berkata, telefon bimbit Shamsubahrin telah dihantar kepada Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia untuk disiasat namun kandungan SMS itu tidak dapat dikesan.

"Telefon bimbit itu kemudian dihantar kepada bahagian forensik di Cyber Sekuriti Malaysia untuk disiasat, namun sehingga sekarang pihak pendakwaan tidak mendapat laporan mengenai kandungan SMS itu," katanya.

Peguam Datuk Sallehuddin Saidin, yang mewakili Shamsubahrin, mengesahkan pihaknya telah menghantar surat respresentasi itu dan telah menyerahkan telefon bimbit anak guamnya kepada pendakwaan.

Pada 30 Disember lepas, Shamsubahrin, 46, dituduh menipu Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, Shamsubahrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Resources Sdn Bhd dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di sini pada pukul 6 petang, 20 November tahun lepas.

Dia juga dituduh menipu Mohamad Salleh dengan memperdayakan beliau bagi menyerahkan cek bernilai RM1.755 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris, Mont Kiara di sini antara 25 November dan 6 Disember tahun lepas.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Laporan PSC Dilulus Tanpa Bahas

Artikel Berkaitan

default image

Zahrain Berkeras Kemuka Usul LGBT

default image

Giliran Idris Jala Pula Jadi Guru

Artikel Lain

Bekas pemain Manchester United bersara

Bidaan nombor ALL 1 paling top!

Chelsea ikat bintang muda Hudson-Odoi