suria

Bersih 3.0 Akan Diadakan 28 April Ini

PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 dengan slogan ‘Duduk Bantah’ akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April ini.

“Satu perhimpunan akan dilakukan secara aman di seluruh negara bertujuan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan yang terus memanipulasi sistem pilihan raya untuk memastikan kemenangan parti yang memerintah,” kata Bersih dalam satu kenyataan pada Rabu.

Keputusan tersebut diumumkan sehari selepas laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi penambahbaikan proses pilihan raya diluluskan oleh Dewan Rakyat, Selasa.

Laporan akhir yang dibentangkan oleh PSC mencadangkan sebanyak 22 cadangan bagi memperbaiki perjalanan sistem pilihan raya di negara ini.

Bagaimanapun hanya 18 daripada 22 cadangan tersebut diterima oleh semua ahli jawatankuasa PSC.

Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S. Ambiga sebelum ini dilaporkan memberi amaran kepada kerajaan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan himpunan Bersih 3.0 akan diadakan sekiranya penambahbaikan sistem pilihan raya gagal dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

Ambiga bagaimanapun berkata, himpunan besar-besaran itu hanya akan diadakan sekiranya proses rundingan mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya menemui jalan buntu.

Perhimpunan Bersih yang kedua iaitu Bersih 2.0 diadakan pada 9 Julai tahun lalu dihadiri berpuluh-puluh ribu rakyat yang menuntut supaya lapan perkara itu dilaksanakan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain