suria

Baharudin Memang Sertai Perhimpunan Bersih - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner yang mendengar perbicaraan inkues pemandu teksi Baharudin Ahmad, yang meninggal dunia ketika perhimpunan haram 9 Julai tahun lepas, pada Rabu diberitahu bahawa pemandu teksi itu sememangnya menyertai perhimpunan haram tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh saksi inkues ke-25 Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Razali Mahmud, 50, menerusi hasil siasatan yang dilakukan terhadap kes kematian Baharudin.

Katanya pemandu teksi itu telah pergi ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 dengan menaiki pengangkutan awam iaitu kereta api Transit Aliran Ringan (LRT).

"Menerusi hasil siasatan saya tujuan Baharudin ke KLCC adalah untuk menyertai demonstrasi... perkara itu dimaklumkan oleh anak lelaki Baharudin iaitu Mohd Nazrul ketika saya mengambil keterangan beliau di hospital, bagaimanapun Baharudin tidak menaiki teksi ke KLCC sebaliknya menaiki LRT," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.

Razali turut memberitahu Baharudin meletakkan teksinya berhampiran sebuah stesen minyak berdekatan dengan LRT Jelatik, Keramat dekat sini.

Selain itu Razali yang kini merupakan Pegawai Petugas Khas Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri di Majlis Keselamatan Negara, Tawau, Sabah berkata tiada sebarang gas pemedih mata dan semburan meriam air dilepaskan oleh pihak polis di kawasan KLCC atau sekitarnya ketika hari perhimpunan itu.

"Tiada sebarang gas pemedih mata dan semburan water canon dibuat pihak polis di kawasan KLCC sebaliknya hanya ada air tumpah sedikit apabila lori brek, apabila lori brek memang air akan tumpah sikit," katanya.

Mengenai orang ramai yang bertempiaran lari menyelamatkan diri di beberapa kawasan sekitar KLCC termasuk menuju ke bangunan pusat beli-belah Avenue K, Razali memaklumkan kesemua mereka (orang ramai) lari apabila ternampak kenderaan polis yang datang menghampiri ke arah mereka serta mendengar bunyi siren.

"Orang ramai lari dari kawasan KLCC ke beberapa kawasan termasuk ke Avenue K disebabkan mereka melihat kenderaan polis datang ke arah mereka dan adanya bunyi siren, bagaimanapun polis tidak berbuat apa-apa tindakan termasuk melepaskan gas pemedih mata serta semburan air dan juga tiada sebarang kejar-mengejar berlaku," katanya yang turut berada bersama pakar patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Khairul Anuar Zainun sepanjang bedah siasat Baharudin.

Terdahulu saksi inkues ke-24, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zulkarnain Abdul Rahman, 52, memberitahu mahkamah beliau telah mengarahkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang diketuai seorang pegawai untuk memantau kawasan KLCC setelah mendapat maklumat terdapat serpihan kumpulan perhimpunan berada di kawasan itu.

Bagaimanapun Zulkarnain menafikan ada mengeluarkan arahan kepada pasukan di bawah seliaannya untuk mengarahkan polis melepaskan gas pemedih mata.

"Saya mengarahkan pegawai saya bersama anggotanya yang ketika itu bertugas di Dataran Merdeka pergi ke KLCC untuk memantau keadaan di sana kerana kita mendapat maklumat terdapat serpihan kumpulan menuju ke kawasan itu (KLCC).

"Itu arahan yang saya keluarkan iaitu memantau tetapi ada yang mengatakan terdapat arahan untuk menyuraikan peserta perhimpunan Bersih dengan melepaskan gas pemedih mata adalah arahan saya...itu tidak benar sama sekali," katanya.

Menjawab soalan peguam Ahmad Jufliz Faiza yang mewakili keluarga Baharudin mengenai terdapat kematian berlaku di daerah Dang Wangi, Zulkarnain berkata beliau tidak mengetahui kematian seorang lelaki di daerah itu ketika hari kejadian.

Beliau bagaimanapun memaklumkan mahkamah bahawa hanya mengetahui terdapat seorang lelaki ditemui terbaring dan mati di bangunan Avenue K melalui Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Inkues di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain