suria

Rasuah: Anggota Polis, Tukang Kebun Mengaku Tidak Bersalah

ALOR SETAR: Seorang anggota polis dan tukang kebun kontrak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang dekat sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini terhadap tuduhan menerima rasuah, pada 2010.

Tertuduh Yahya Zainol, 53, yang berpangkat Sarjan bertugas di IPD Pendang didakwa bersubahat dengan tukang kebun Ahmad Sabri Abu Bakar, 51, untuk menerima rasuah sebanyak RM600 daripada Rosli Yaacob yang ditahan atas kesalahan dadah.

Wang yang diterima Yahya melalui melalui Ahmad Sabri itu kononnya sebagai upah untuk melepaskan Rosli daripada ditahan di lokap IPD Pendang.

Yahya yang merupakan pegawai penyiasat bagi kes dadah itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di gerai makan berhadapan Bangunan Melor, Pendang dekat sini kira-kira pukul 8.40 malam, 29 Ogos 2010.

Ahmad Sabri pula dituduh bersubahat dengan Yahya, yang secara rasuah menerima wang tunai RM600 daripada lelaki sama iaitu Rosli dengan tujuan, tempat dan masa yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi mencadangkan jaminan RM5,000 terhadap Yahya dan Hakim Mohd Sabri Ismail, membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jumlah jaminan tersebut dengan seorang penjamin.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar pula mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap Ahmad Sabri bagaimanapun Hakim Mohd Rosli Osman menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. Kedua-dua kes akan disebut semula pada 3 Mei ini. - BERNAMA

Artikel Lain