suria

Pesara Tentera Maut Dirempuh Lori Terbabas Di Kedai Kopi

IPOH: Seorang pesara tentera terbunuh selepas dirempuh sebuah lori yang terbabas ketika mangsa berada di sebuah kedai kopi di pekan Titi Serong, Parit Buntar, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata Mohd Murad Mastor, 53, berasal dari Kampung Haji Musa Titi Serong, Parit Buntar, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Semasa kejadian pada pukul 10.30 pagi, Mohd Murad menghantar kuih ke kedai berkenaan untuk dijual dan insiden itu menyebabkan beberapa pelanggan di kedai kopi itu bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri, katanya ketika dihubungi, Selasa.

Fauzi berkata kejadian berlaku ketika pemandu lori muatan air batu dikatakan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan berhampiran kedai kopi tersebut dan pada masa yang sama sebuah lori ikan yang mengekori kenderaan itu, merempuhnya.

Akibat kejadian itu, lori muatan air batu telah terbabas ke kiri jalan dan merempuh mangsa serta lima buah motosikal yang berada di tepi kedai berkenaan, katanya.

Katanya kedua-dua pemandu lori berkenaan hanya cedera ringan dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain