suria

Malaysia Negara Paling Selamat Di Asia Tenggara

KANGAR: Malaysia adalah negara paling selamat di rantau Asia Tenggara dan ia membuktikan kebijaksanaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, Selasa.

Katanya negara ini yang rakyatnya berbilang kaum akan terus berada dalam keadaan aman jika mandat terus diberikan kepada BN mentadbir negara ini.

Berucap pada majlis "Apresiasi Tiga Tahun Transformasi" sempena ulang tahun pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia, beliau berkata, BN adalah sebuah parti yang membuktikan keupayaannya dalam pentadbiran dan sebuah parti yang mengotakan janji demi kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangan Umno itu berkata BN bukan seperti parti pembangkang yang menabur janjinya tetapi tidak berupaya mengotakan banyak perkara yang djanjikan.

Berharap rakyat tidak memperjudikan masa depan negara, Ahmad berkata pada masa ini kerajaan pimpinan BN berjaya mengurangkan kadar jenayah dan rasuah manakala taraf hidup rakyat ditingkatkan dengan pengurangan kos sara hidup.

Ahmad yang membentangkan pencapaian Najib selama menjadi Perdana Menteri Malaysia, berkata rakyat di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang mula merasakan bahawa mereka telah ditipu apabila ada janji yang tidak dikotakan.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu semasa merasmikan majlis itu berkata harga keamanan negara ini telah dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan termasuk kewangan.

Katanya jika negara ini berkrisis dan wujud keganasan sudah pasti rakyat tidak berpeluang menikmati kemakmuran kerana kerajaan perlu berbelanja besar bagi menguruskan krisis dan keganasan itu.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis anjuran kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Penerangan Negeri Perlis dan Komuniti 1Malaysia Perlis, termasuk karnival Komuniti 1Malaysia yang berlangsung di Dewan 2020 sejak semalam.

Lain-lain acara adalah pentarama, pertandingan memasak bubur lambuk, pertandingan pameran kenderaan, pertandingan gerai tercantik dan pertandingan teka-teki selain penyampaian netbook 1Malaysia kepada pengerusi-pengerusi Komuniti 1Malaysia oleh Menteri Besar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. - BERNAMA

Artikel Lain