suria

Kerajaan BN Komited Tunaikan Janji - Ismail

KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited menunaikan janjinya kepada rakyat dengan melaksanakan program yang boleh meringankan beban mereka seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program itu dapat dijayakan dengan baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang dijanjikan oleh kerajaan menerusi NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) dan NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara) telahpun dapat direalisasikan.

"Ini jelas menunjukkan kita (kerajaan BN) adalah kerajaan yang bertanggungjawab, yang mengotakan janji-janjinya dan bukannya memberikan janji kosong," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesedaran Berkoperasi, Selasa.

Beliau diminta mengulas Laporan Tahunan GTP dan ETP yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Najib, Isnin.

Najib berkata perencanaan rapi dan pelaksanaan berstrategi menerusi GTP dan ETP bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat pelbagai bangsa, malah berjaya melonjakkan status Malaysia setaraf negara maju.

Ismail berkata sifat tanggungjawab kerajaan juga ditunjukkan dengan memberi janji yang rasional dan bukan semata-mata untuk memenangi hati rakyat.

"Macam sesetengah pihak yang menjanjikan esok memerintah, hari ini terus turunkan harga minyak... ia perkara yang tak munasabah kerana kita menanggung subsidi minyak berbilion ringgit," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan GTP dan ETP turut melonjakkan nama negara di mata dunia dengan bertambahnya pelaburan asing di Malaysia.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) meminta kerajaan mengkaji keberkesanan bantuan kepada rakyat bagi memastikan matlamatnya tercapai.

Pengarah Komunikasi FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman berkata jika bermanfaat kepada rakyat, kerajaan perlu meneruskan perubahan dan bantuan itu.

"Kita lihat rakyat menyambut baik Kedai Rakyat 1Malaysia tetapi jangan dihentikan setakat itu sahaja... kita harap produk barangan kedai ini diperluaskan kepada barangan pasar seperti daging dan sayur-sayuran," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan mengkaji masa yang sesuai untuk memberi bantuan, misalnya pada hujung tahun sebelum sekolah dibuka atau menjelang musim perayaan agar rakyat lebih menghargainya.

Penganalisis Jenayah dan Keselamatan Jalan Raya Shamsul Liani Abas pula berpendapat kerajaan pimpinan Najib berjaya mewujudkan keadaan harmoni apabila dapat menurunkan kadar jenayah di negara ini.

"Hari ini, kita boleh melihat semakin kerap rakyat terserempak dengan peronda polis di mana sahaja berbanding 15 ke 20 tahun dahulu. Kewujudan pondok dan balai polis juga semakin bertambah," katanya ketika dihubungi.

Shamsul Liani berkata walaupun Najib sering ditekan musuh politiknya, namun beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), yang mewakili pelajar dan mahasiswa, meminta kerajaan menetapkan caj siling untuk yuran di kolej serta universiti swasta.

"Kita dapati ada kolej dan universiti swasta yang mengenakan yuran sehingga RM21,000 untuk kursus diploma selama 3 tahun.

"Yuran RM13,000 untuk diplomapun sudah cukup menyusahkan ibu bapa," kata Presiden GPMS Jais Abd Karim.

Beliau berkata kerajaan perlu mengkaji perkara ini kerana ia memberi kesan kepada pelajar memandangkan bayaran yuran itu tidak cukup untuk ditampung oleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. - BERNAMA

Artikel Lain