suria

Dua Juruwang Didakwa Rompak Tiga Keluarga

KUALA LUMPUR: Dua juruwang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa atas pertuduhan merompak tiga sekeluarga di sebuah rumah di Sri Petaling di sini, menyebabkan keluarga itu kerugian kira-kira RM10,000, bulan lepas.

Bagi pertuduhan pertama Choo Han Wun, 36, dan Yang Kim Fook, 37, didakwa merompak wang tunai RM300, seutas rantai emas, sebuah komputer riba, sebuah head set dan sebuah play station 'PS2' milik Tan Liu Chin, 34.

Mereka juga didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenis Blackberry, seutas jam tangan jenama Seiko, wang tunai RM1,600, beberapa kad kredit dan lesen memandu milik Cheng Chee Leong, 34, adik ipar kepada Tan.

Bagi pertuduhan ketiga Choo dan Yang didakwa merompak empat utas rantai emas, lima bentuk cincin, empat utas rantai tangan dan kaki, sebuah telefon bimbit, sebuah komputer riba, sebuah note book dan wang tunai RM100 milik isteri Cheng, Loke Show Swee, 33.

Kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dengan bersenjatakan sebilah pisau di No 28 Jalan 3/149 H, Sri Petaling, di sini pada 12.15 tengah hari, 11 Mac lepas.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan bagi mereka melantik peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal. - BERNAMA

Artikel Lain