suria

Cadangan Usia Bersara Sektor Swasta 60 Tahun Dibentang Di Parlimen Jun Ini

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk meningkatkan umur persaraan bagi sektor swasta kepada 60 tahun akan dibentangkan di parlimen akan datang yang bersidang pada Jun.

"Ini sejajar dengan umur persaraan yang baru bagi mereka yang bekerja di sektor awam," kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, ini juga akan mengurangkan tekanan terhadap sistem sosial yang disebabkan oleh jangka hayat lebih panjang.

"Masyarakat sekarang ini hidup lebih lama, oleh itu adalah patut jika sistem pekerjaan, dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, membolehkan mereka bekerja selagi produktif," katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini, Isnin.

Beliau berkata, kementerian itu telah membincangkan perkara tersebut dengan panjang lebar dengan persatuan-persatuan majikan, yang memberi maklum balas positif.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat cadangan untuk mengekalkan umur persaraan bagi sektor swasta pada usia 55 tahun dan membolehkan bekerja semula selepas bersara.

"Tetapi masalah yang dihadapi apabila kebanyakan majikan lebih suka menggaji pekerja lebih muda, maka tidak ada jaminan mereka akan bekerja semula.

"Oleh itu, kami memutuskan untuk meningkatkan umur persaraan kepada 60 tahun, dan selepas itu, syarikat boleh memilih untuk mengambil semula pekerja lama bekerja sekiranya dia boleh bekerja dengan produktif," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam juga menyenaraikan cabaran-cabaran lain berkaitan dengan sistem persaraan di negara ini, yang katanya, kerajaan dan badan-badan yang berkaitan akan bekerjasama untuk mengatasinya.

"Kami sedang membuat penambahbaikan kepada skim gaji, seperti dasar gaji minimum, yang akan membantu mereka di dalam kumpulan berpendapatan rendah untuk membuat lebih banyak simpanan bagi memastikan perlindungan yang lebih baik untuk masa depan mereka.

"Kami juga melihat kepada sistem kebajikan yang lebih baik, yang akan meningkatkan kualiti hidup mereka selepas bersara," katanya.

Artikel Lain