suria

Perjalanan KTMB Ke Hat Yai Tetap Ikut Jadual

KUALA LUMPUR: Kejadian letupan bom di Hat Yai, Thailand Sabtu lepas tidak menjejaskan jualan tiket perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke wilayah selatan itu walaupun kerajaan menasihati rakyat Malaysia supaya tidak kawasan tersebut.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata perjalanan keretapi ke kawasan pelancongan itu masih mengikut jadual yang ditetapkan dan tiada pindaan perjalanan dilakukan.

"Kami tidak menerima peningkatan dalam tempahan tiket pulang dari Hat Yai ke Malaysia dan tiada juga pembatalan tiket dari sini untuk ke Hat Yai.

"Setakat ini, kami juga tidak menerima arahan Kementerian Luar supaya membatalkan perjalanan ke Hat Yai, malah pihak berkuasa Thailand memberi jaminan keselamatan terhadap tren-tren KTMB," katanya kepada Bernama, Isnin.

Menurutnya, KTMB ketika ini menjual purata 20 tiket sehari ke Hat Yai dan meningkat ke 120 tiket sehari pada musim cuti.

Dalam kejadian itu, seorang rakyat Malaysia terbunuh dan 27 lagi cedera manakala seorang lagi masih dilaporkan hilang.

Beberapa syarikat bas ekspres yang menawarkan perkhidmatan perjalanan terus ke Hat Yai turut berkata perjalanan bas mereka mengikut jadual seperti biasa.

Jurucakap Syarikat KKKL Sdn Bhd berkata pembelian tiket dari Malaysia ke wilayah itu adalah seperti biasa dan tiada penambahan atau pembatalan tiket ekoran kejadian tersebut.

"Tiada juga peningkatan mendadak dalam pembelian tiket untuk pulang ke Malaysia dan perjalanan bas adalah seperti jadual yang ditetapkan," katanya.

Jurucakap Sri Maju Sdn Bhd juga berkata syarikat bas itu juga tidak mengalami penurunan dari segi jualan tiket. - BERNAMA

Artikel Lain